Minda Presiden PAS
[Bil: 46 / 2025]
ISLAM DAN PLURALISME
Pluralisme agama merujuk kepada konsep yang mengakui dan menerima kepelbagaian agama dalam masyarakat. Ia boleh merujuk kepada kepercayaan bahawa semua agama mempunyai kebenaran, atau sekurang-kurangnya nilai-nilai positif, dan menggalakkan kerjasama serta dialog antara agama-agama yang berbeza.
Islam menerima konsep kepelbagaian agama dalam masyarakat majmuk, tetapi tidak menerima kepercayaan bahawa semua agama mempunyai kebenaran, atau sekurang-kurangnya nilai-nilai positif.
Kepelbagaian agama tidak boleh dihalang kerana Islam tidak boleh memaksa seseorang untuk menganut Islam. Hal ini demikian kerana, Islam hendaklah dianut dengan hati yang ikhlas yang dinamakan iman, bukan sekadar ikrar dengan lidah yang tidak bertulang. Firman Allah SWT:
۞قَالَتِ ٱلۡأَعۡرَابُ ءَامَنَّاۖ قُل لَّمۡ تُؤۡمِنُواْ وَلَٰكِن قُولُوٓاْ أَسۡلَمۡنَا وَلَمَّا يَدۡخُلِ ٱلۡإِيمَٰنُ فِي قُلُوبِكُمۡۖ وَإِن تُطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ لَا يَلِتۡكُم مِّنۡ أَعۡمَٰلِكُمۡ شَيًۡٔاۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٌ ١٤ إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ لَمۡ يَرۡتَابُواْ وَجَٰهَدُواْ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلصَّـٰدِقُونَ ١٥
“Orang-orang Arab Badwi itu berkata, ‘Kami telah beriman.’ Katakanlah, ‘Kamu belum beriman, tapi katakanlah: Kami telah tunduk (Islam).’ Hal ini kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikit pun pahala amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (14) Sesungguhnya, orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar. (15)” [Surah al-Hujurat: 14-15]
Ya, benar bahawa Islam menggalakkan dialog dengan agama lain kerana konsep tiada paksaan dalam menganut Islam, dan Islam boleh diterima dengan hujah yang benar. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ ١٢٥
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang paling baik. Sesungguhnya, (Tuhanmu) Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” [Surah al-Nahl: 125]
Ada golongan yang percaya bahawa kebenaran tidak hanya terdapat dalam satu agama sahaja, tetapi juga dalam agama-agama lain. Kepercayaan ini bercanggah dengan firman Allah SWT:
ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ ١٤٧
“Kebenaran itu adalah daripada Tuhanmu, sebab itu jangan sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu.” [Surah al-Baqarah: 147] Begitu juga firman Allah SWT:
ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُن مِّنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ ٦٠
“Yang benar itu datang daripada Tuhanmu, kerana itu janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu.” [Surah Ali ‘Imran: 60]
Allah SWT berfirman lagi:
وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٨٥
“Sesiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” [Surah Ali ‘Imran: 85]
Ilmu Allah adalah yang paling sempurna, tidak ada kekurangan dan kelemahan, serta Maha Suci daripada kesalahan dan kesesatan. Hal ini demikian kerana, rahmat Allah yang melimpah terhadap makhluk-Nya pasti tidak akan mengecewakan. Sebaliknya pula, ilmu manusia pasti ada kelemahan dan kekurangan kerana sifat makhluk yang ada pada dirinya.
Majlis Ulama Indonesia (MUI) pernah mengeluarkan fatwa yang mengharamkan pluralisme agama kerana dianggap menyeleweng daripada ajaran Islam.
Maka, wajib tidak ada sebarang khilaf dalam kalangan ulama’ Islam di seluruh dunia apabila merujuk kepada kitab Allah (al-Quran) yang sama, walaupun terdapat pelbagai qiraat dan mazhab. Tidak ada khilaf dalam perkara yang nyata nasnya, serta tidak berbeza dalam perkara dasar dan rukun.
Umat Islam wajib meletakkan Islam sebagai satu-satunya agama yang benar dan wajib pula meninggikan Islam mengatasi segala ajaran yang lain, sama ada yang bernama agama ataupun ideologi. Firman Allah SWT:
هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya atas segala agama meskipun orang Musyrik membenci.” [Surah al-Saff: 9]
Islam berbeza daripada agama lain dan sama sekali tidak sama dengan ideologi dan teori. Ia berasal daripada perkataan al-din, yang bukan bermakna agama semata-mata. Hal ini demikian kerana, Islam mengandungi kesempurnaan yang tidak boleh dipenuhi oleh agama-agama yang lain dan semua ideologi ciptaan manusia.
Islam mencakupi ajaran agama, kejadian manusia dan kehidupannya yang berhubung dengan Allah Pencipta alam dan makhluk yang lain. Manusia diberi peranan mengurus alam (khilafah) dalam urusan dunia, bukan sahaja urusan ibadah yang menjadi takrif agama.
Kepercayaan kepada Tuhan dalam Islam, berbeza dengan kepercayaan agama-agama lain kepada Tuhan kerana disesatkan oleh unsur syirik.
Kepercayaan kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, terkandung dalam ajaran Islam yang merangkumi aqidah Tauhid Uluhiyyah (beribadah kepada Allah sahaja), Tauhid Rububiyyah (Allah Pencipta dan Pentadbir alam), tidak boleh mengadakan undang-undang ciptaan sendiri yang tidak diizinkan oleh Allah, serta Tauhid Asma’ (nama terbaik) dan sifat-sifat kesempurnaan Allah Yang Maha Suci daripada segala kekurangan. Firman Allah SWT:
قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ١ ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ٢ لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ ٣ وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدُۢ ٤
“Katakanlah, ‘Dialah Allah, Yang Maha Esa. (1) Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. (2) Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, (3) dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia.’ (4)” [Surah al-Ikhlas: 1-4]
Adapun aqidah kepercayaan kepada Tuhan dalam agama lain dikotori oleh syirik, iaitu dosa yang paling besar di sisi Allah. Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغۡفِرُ أَن يُشۡرَكَ بِهِۦ وَيَغۡفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُۚ وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفۡتَرَىٰٓ إِثۡمًا عَظِيمًا ٤٨
“Sesungguhnya, Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain daripada (syirik) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” [Surah al-Nisa’: 48]
Ajaran Islam merangkumi perkara yang nyata dan ghaib, serta perkara di luar kemampuan akal manusia, dan berwawasan dunia sehingga akhirat yang kekal abadi. Adapun ajaran yang lain daripada Islam, sama ada melibatkan yang nyata dilihat secara zahir sahaja, ataupun andaian yang dikhayalkan sendiri secara meraba-raba tanpa hidayah.
Rub‘i bin ‘Amir RA yang mewakili Islam, menegaskan kepada Rustum, Panglima Tentera Parsi:
اللَّهُ ابْتَعَثْنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللَّهِ، وَمِنْ ضِيقِ الدُّنْيَا إِلَى سِعَتِهَا، وَمِنْ جَوْرِ الْأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الْإِسْلَامِ.
“Allah yang mengutus kami supaya membebaskan sesiapa (tanpa paksaan) daripada memperhambakan diri kepada sesama hamba (manusia) kepada memperhambakan diri hanya kepada Allah (Tuhan yang sebenar); keluar daripada wawasan dunia yang sempit kepada wawasan luasnya dari dunia sehingga akhirat, dan membebaskan diri daripada kezaliman berbagai-bagai agama dan undang-undang kepada keadilan Islam.” [Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jld. 7, hlm. 40]
Maka, semua agama yang lain daripada Islam tidak dapat memenuhinya dan tidak dicapai semuanya oleh ideologi atau teori ciptaan manusia.
Ada kalangan yang berhujah bahawa ada beberapa perkara yang sama pada zahirnya antara Islam dengan agama lain dari segi nama. Demikian juga dengan teori atau ideologi ciptaan manusia yang berjenama sama dengan Islam seperti berakhlak baik dan mulia, serta menentang kejahatan dan kemungkaran.
Hakikatnya, kedua-duanya sangat berbeza dengan Islam dari segi prinsip dan matlamatnya. Hal ini demikian kerana, Islam berdasarkan aqidah tauhid dan ta‘abud (penghambaan) kepada Allah, serta berwawasan akhirat mengikut perhitungan dosa dan pahala dalam semua urusan.
Sedangkan bagi agama-agama yang lain, urusan agamanya mengandungi syirik kepada selain Allah, dan urusan keduniaannya dipisahkan daripada agama. Demikian juga ideologi dan teori ciptaan manusia yang meletakkan urusan dunia di bawah hak kebebasan manusia dan tiada hubungannya dengan Allah.
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ٢١ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ فِرَٰشٗا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءٗ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ فَأَخۡرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزۡقٗا لَّكُمۡۖ فَلَا تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادٗا وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ٢٢
“Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa! (21) Dialah yang menjadikan bagimu bumi sebagai hamparan dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu. Oleh sebab itu, janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui. (22)” [Surah al-Baqarah: 21-22]
Mukjizat ilmu daripada al-Quran iaitu Kalam Allah, tidak mampu dicapai oleh kalangan pemikir atau ilmuwan daripada kalangan manusia. Bahkan, mereka tidak akan mampu mencabar ilmu Allah daripada kitab-Nya. Firman Allah SWT:
وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٢٣ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ ٢٤
“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat satu surah (saja) yang semisal al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. (23) Oleh itu, jika kamu tidak dapat membuatnya (satu surah), dan pasti kamu tidak akan dapat membuatnya, maka peliharalah dirimu daripada Neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir (yang menentangnya). (24)” [Surah al-Baqarah: 23-24]
Maka, fahaman liberalisme dan yang bergandingan dengan pluralisme adalah salah dan sesat. Allah melarang orang-orang yang beriman melampaui sempadan yang telah ditetapkan-Nya, sebagaimana firman-Nya:
أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١
“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (dari Allah) tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Shura: 21]
Semua amalan baik yang berdasarkan syirik akan ditolak pada Hari Kiamat nanti. Firman Allah SWT:
وَلَقَدۡ أُوحِيَ إِلَيۡكَ وَإِلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكَ لَئِنۡ أَشۡرَكۡتَ لَيَحۡبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٦٥
“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelum kamu, ‘Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), nescaya akan terhapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.’” [Surah al-Zumar: 65]
Allah SWT menegaskan bahawa setiap orang yang beriman wajib menerima ketetapan-Nya dan rasul tanpa pilihan. Hal ini demikian kerana, kepercayaan mereka kepada Allah yang Maha Rahmat, Maha Penyayang, Maha Adil dan Maha Bijaksana, serta rasul pula dikawal oleh wahyu yang membetulkan kesilapan kerana hikmah tarbiah.
Adapun para pemikir dan ilmuwan pula tidak dikawal oleh wahyu, namun mereka diperintahkan supaya merujuk kepada kitab Allah dan teladan daripada Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا ٣٦
“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang Mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang Mukminah, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.” [Surah al-Ahzab: 36] Firman Allah SWT lagi:
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤۡمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيۡنَهُمۡ ثُمَّ لَا يَجِدُواْ فِيٓ أَنفُسِهِمۡ حَرَجٗا مِّمَّا قَضَيۡتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسۡلِيمٗا ٦٥
“Maka, demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” [Surah al-Nisa’: 65]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS Bertarikh:
26 Muharram 1447 / 22 Julai 2025