Home Minda Presiden

Islam Dan Masyarakat Majmuk (Wala’, Tahaluf dan Taawun)

1614
SHARE

Minda Presiden PAS
ISLAM DAN MASYARAKAT MAJMUK
(Wala’, Tahaluf dan Taawun)

Islam menerima hakikat hubungan kemanusiaan bermasyarakat majmuk dan madani, bersempadankan akidah dan syariat yang memelihara hubungan kemanusiaan, bersikap positif terhadap semua kebaikan dan kebijaksanaan daripada semua pihak tanpa meninggalkan Islam diutamakan dan memimpin serta menjadi petunjuk yang wajib ditegakkan mengatasi yang lain daripadanya dan disampaikan mesejnya kepada seluruh manusia.

Islam adalah penyelesaian yang wajib ditegaskan menjadi akidah perjuangan berkonsepkan Rabbani dan berwawasan dunia akhirat. Umat Islam wajib istiqamah (konsisten) menegakkan Islam yang sempurna tanpa paksaan terhadap pihak yang lain.

Wala’ (Islam memimpin dan bersatu di bawahnya) hanya kepada Islam sahaja, dan haram berwala’ kepada bukan Islam. Namun diizinkan bertahaluf dan bertaawun dengan bukan Islam dalam titik persamaan yang tidak terkeluar daripada kewajipan menegakkan Islam sehingga berdaulat, bertujuan menyampaikan Islam kepada semua pihak dengan pelaksanaannya yang menyeluruh.

Maka diharamkan berwali kepada bukan Islam. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُم مِّنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ أَن تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ رَبِّكُمْ إِن كُنتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَادًا فِي سَبِيلِي وَابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي تُسِرُّونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَأَنَا أَعْلَمُ بِمَا أَخْفَيْتُمْ وَمَا أَعْلَنتُمْ وَمَن يَفْعَلْهُ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ (1)

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi wali (kepimpinan atau teman rapat diberi kepercayaan menegakkan Islam), dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (S.A.W) dan juga mengeluarkan kamu (dari tanah suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalan-Ku dan untuk mencari keredhaan-Ku. (Tiada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul”. (Surah Al-Mumtahanah: 1)

Walaupun sebab turunnya ayat ini kerana Hatib bin Abi Baltaah R.A. (ahli Badar) yang membocorkan rahsia negara kepada musuh, namun tetap menjadi pengajaran politik kepada umat Islam sepanjang zaman.

Seterusnya ditafsirkan oleh ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W. yang dilaporkan oleh para ulama’ yang meninggalkan warisan ilmu Islam yang tidak boleh dipadamkan cahayanya yang satu sahaja, menghadapi banyaknya kegelapan oleh pihak lain yang berjenama agama, ideologi dan teori.

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ (118) هَا أَنتُمْ أُولَاءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتَابِ كُلِّهِ وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ الْغَيْظِ ۚ قُلْ مُوتُوا بِغَيْظِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ (119) إِن تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِن تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ (120)

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. (118); Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), Katakanlah (wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada. (119); Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; Dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuannya akan apa yang mereka lakukan”. (120) (Surah Ali-‘Imraan: 118-120)

Ada pula ayat-ayat Al-Quran yang mengizinkan hubungan baik dengan pihak bukan Islam dengan dinyatakan batas sempadannya. Antaranya firman Allah:

عَسَى اللَّهُ أَن يَجْعَلَ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ الَّذِينَ عَادَيْتُم مِّنْهُم مَّوَدَّةً وَاللَّهُ قَدِيرٌ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ (7) لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (8) إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (9)

“Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam, atau berada di bawah pemerintahan Islam yang adil). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (7); Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8); Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada berwalikan orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka wali-walinya, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (9) (Surah Al-Mumtahanah: 7-9)

Rasulullah S.A.W. telah melaksanakan ayat-ayat tersebut dalam semua keadaan sama ada dalam keadaan lemah tidak berkuasa ketika di Makkah dan ketika berkuasa memerintah negara setelah berhijrah ke Madinah.

Ketika di Makkah, Rasulullah S.A.W. mengadakan hubungan yang baik dengan Abu Talib, bapa saudaranya yang belum Islam dan meminta perlindungan pemimpin bukan Islam yang tidak bermusuh terhadap Islam dan penganutnya serta bencikan kezaliman.

Dinyatakan dengan tegas untuk bersama Islam apabila Abu Talib mengemukakan tawaran damai daripada pihak musuh yang bersyarat ditinggalkan dakwah dan Islam tidak ditegakkan berdaulat. Sabdanya:

يَا عَمُّ، وَاَللَّهِ لَوْ وَضَعُوا الشَّمْسَ فِي يَمِينِي، وَالْقَمَرَ فِي يَسَارِي عَلَى أَنْ أَتْرُكَ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يُظْهِرَهُ اللَّهُ، أَوْ أَهْلِكَ فِيهِ، مَا تَرَكْتُهُ. (سيرة ابن هشام ت السقا 1/266)

“Wahai bapa saudara kesayanganku! Sekiranya diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, supaya aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam) sehinggalah Allah memenangkannya atau aku mati dalam perjuangan ini, nescaya aku tidak meninggalkannya”.

Setelah berhijrah ke Madinah, Rasulullah S.A.W. menyatukan kumpulan umat Islam Muhajirin dan Ansar, Aus dan Khazraj yang telah Islam sebagai agenda pertama didahulukan dan diikuti mengadakan persefahaman tahaluf dan taawun bersama bukan Islam yang bersikap damai dan menerima kepimpinan Islam dengan syarat tidak berganjak dengan Islamnya.

Wala’ hanya kepada Islam sahaja, berpandukan firman Allah:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ (55)

“Sesungguhnya wali kamu (pemimpin atau penolong yang sebenar kesetiaannya)  hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah”. (Surah Al-Maa’idah: 55)

 

Atas dasar dan konsep perpaduan umat, maka Islam didahulukan secara wala’ (kepimpinan dan tonggak perpaduan) kepada semua kumpulan Islam. Adapun   bukan Islam yang bersikap damai diadakan tahaluf dan taawun tersebut.

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحِلُّوا شَعَائِرَ اللَّهِ وَلَا الشَّهْرَ الْحَرَامَ وَلَا الْهَدْيَ وَلَا الْقَلَائِدَ وَلَا آمِّينَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّن رَّبِّهِمْ وَرِضْوَانًا وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَاصْطَادُوا وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَن تَعْتَدُوا وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (2)

“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidil Haram itu, mendorong kamu menceroboh dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan serta bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat Azab Seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)”. (Surah Al-Maa’idah: 2)

Rasulullah S.A.W. menerima Khuza’ah dan lain-lain yang berdamai terhadap Islam berkonsepkan taawun dan tahaluf ketika mereka belum menganut Islam. Fathu Makkah berlaku apabila berlakunya kezaliman oleh musuh terhadap Khuza’ah yang bertahaluf dan bernaung di bawah Islam.

Maka PAS membuat keputusan mengikut kajian Majlis Syura Ulama’ dan pelaksanaannya oleh kepimpinan pusat berpandukan Al-Quran dan Sunnah, mendahulukan pendekatan bersama kumpulan Islam di pelbagai lapangan, politik dan lain-lain serta mengadakan tahaluf dan taawun dengan bukan Islam yang tidak bermusuh terhadap Islam dan umatnya.

PAS membatalkan hubungan dengan pihak yang menunjukkan permusuhan terhadap Islam dan mencabar kepimpinan Islam seperti DAP dan lain-lain. Begitu juga pemimpin dan ahli PAS yang meninggalkan PAS kerana meletakkan perjuangannya  di atas  konsep yang salah dan sesat, tidak beristiqamah bersama Islam, melarikan diri daripada perjuangan Islam dan menunjukkan sikap wala’nya kepada mereka yang nyata bermusuh terhadap Islam dan umatnya, sehingga segala matlamat menghalalkan segala caranya semata-mata mahu cepat mendapat kuasa dan kedudukan.

Nas-nas Al-Quran, Hadis dan Ijma’ para ulama’ menegaskan bahawa hubungan tahaluf dan taawun bergantung kepada ijtihad yang boleh berubah hukum harus dan haramnya berdasarkan kepada situasi yang berubah dan sikap terhadap syarat-syaratnya yang dipatuhi atau tidak. Adapun haramnya berwala’ kepada bukan Islam, adalah nas yang nyata yang tidak diizinkan berijtihad.

Maka lebih haram dan besar akibatnya melantik kepimpinan kerajaan yang berwala’ kepada negara asing yang sangat bermusuh terhadap Islam dan penganutnya, serta mendukung falsafah politik pragmatik yang menenggelamkan Islam atau melemahkan kedudukannya.

 

“Islam Memimpin”

 

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 6 Februari 2019 / 1 Jamadilakhir 1440