KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana telah berjaya meneroka potensi besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, terutamanya industri solar.
Baginda bertitah, sehingga Disember 2024, Negeri Terengganu memiliki kapasiti solar beroperasi melebihi 333 Megawatt peak (MWp), dengan pelaburan yang diterima mencecah RM1bilion, melibatkan 14 syarikat pelabur.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi impak positif kepada ekonomi negeri, malah turut menempatkan Negeri Terengganu di barisan hadapan dalam pembangunan tenaga hijau dan mampan.
“Dalam masa sama memacu negeri ini ke arah masa depan yang lebih hijau dan berdaya saing,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di sini hari ini.
Titah baginda lagi, justeru itu kerajaan negeri perlu terus proaktif mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan di peringkat global, dalam usaha memperluas industri teknologi hijau ini.
Baginda bertitah, selain itu juga pembangunan infrastruktur mampan dan pemacu inovasi dalam penyelesaian tenaga bersih perlu diteruskan, bagi memastikan negeri ini kekal berada di hadapan dalam memperkasakan industri tenaga hijau untuk masa depan.
“Inisiatif ini sejajar dengan komitmen negeri untuk memperkukuh penggunaan tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga konvensional, serta membuka lebih banyak peluang ekonomi baharu yang dapat memberi manfaat kepada rakyat,” titah baginda.