KUALA TERENGGANU – Inisiatif Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memasang papan tanda yang memaparkan kalimah suci membesarkan Allah SWT di jalan-jalan utama negeri ini menerima respon positif daripada masyarakat setempat.
Rata-rata rakyat negeri ini menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri itu kerana secara tidak langsung apabila melihat papan tanda itu setiap orang akan turut berzikir.
Usaha tersebut dilihat terus mengekalkan identiti Terengganu yang mana sebelum ini telah menarik perhatian artis terkenal tanah air, Khairil Ridzwan Anuar atau lebih dikenali sebagai Monoloque.
Monoloque kagum dengan slogan-slogan dalam bahasa Melayu serta jawi yang ada di negeri ini.
Sebelum ini, penyanyi itu berkongsi pengalaman ketika berada di Terengganu apabila melihat papan tanda yang menyatakan ‘Berjudi dan Arak Membinasakan’.
“Slogan-slogan seperti itu sudah tidak ada di Kuala Lumpur semuanya ingin menggunakan bahasa Inggeris,” ujarnya.
Inisiatif yang dilaksanakan oleh MBKT itu bagi menerapkan syiar Islam mula diletakkan di beberapa kawasan yang difikirkan sesuai.
Terutama di pembahagi-pembahagi jalan telah pun dipasang dengan papan-papan tanda tersebut.