Home Berita PAS Perak

Info Perak | GLC Negeri Perak sumbang 287 lembu korban

10
SHARE
GLC NEGERI PERAK SUMBANG 287 LEMBU KORBAN
IPOH, 14 Julai — Sebanyak 287 lembu korban bernilai RM1,633,682.59 disumbangkan oleh Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Perak yang disampaikan kepada Menteri Besar, YAB Dato’ Saarani Mohamad di sini hari ini.
Jelas Dato’ Saarani, kesemua 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal menerima empat ekor lembu korban yang akan diagihkan ke masjid, surau dan rumah sembelihan.
“Agihan lembu korban ke masjid, surau dan rumah sembelihan akan diselaraskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang beragama Islam.
“Bagi kawasan ADUN bukan beragama Islam, agihan lembu korban akan diselaraskan oleh Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah,” jelasnya selepas menyempurnakan Akad Penyerahan Lembu Korban GLC Negeri Perak hari ini.
Antara GLC terlibat termasuk Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).
Proses serahan secara berakad kepada wakil-wakil peringkat DUN tersebut akan bermula 15 Julai.
Satu garis panduan khusus menumpukan aspek wakalah atau kontrak antara pihak terlibat akan diedarkan bagi memastikan pelaksanaan program itu berlandaskan tuntutan syarak.
“Pelaksanaan ibadah korban perlu memenuhi peraturan-peraturan lain yang dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” ujarnya.
Beliau turut memperingatkan rakyat Perak terutama yang beragama Islam supaya menyambut Hari Raya Aidiladha pada 21 Julai ini dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan.
Sumber : Komunikasi Strategik Perak [Stratcom]
Foto: Media MB