Home Berita PAS Terengganu

Industri ayam penelur bakal diwujudkan di Setiu

40
SHARE

KUALA TERENGGANU – Industri ternakan ayam penelur bakal diwujudkan di daerah Setiu bagi memastikan rakyat Malaysia tidak mengalami masalah gangguan telur.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan makanan dan Komoditi, Dr. Azman Ibrahim berkata, tanah 300 ekar di Setiu telah disediakan bagi memenuhi keperluan itu.

Katanya, langkah itu juga dibuat bagi memastikan bidang itu tidak dikuasai pihak kartel.

“Pagi ini lawatan dan perbincangan yang sangat positif kami adakan bersama pengurusan Ladang Ternakan Ayam Penelur, Sekasih Aman Sdn Bhd.

“Sebuah syarikat milik orang Melayu anak jati Terengganu yang beroperasi di Kalumpang, Hulu Selangor,” ujarnya melalui satu kenyataan di facebooknya, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut katanya, syarikat tersebut mempunyai kira-kira 1 juta ekor ternakan ayam penelur dengan kapisiti pengeluaran melebih 500,000 butir dalam sehari.

“Menariknya kerana syarikat ini (juga) memiliki  ladang penetasan anak ayam dan kilang makanan sendiri,” ujarnya.

Terdahulu, pada tahun lalu Dr Azman berkata kerajaan membuka peluang kepada sesiapa yang berminat mengusahakan penternakan ayam penelur dengan menyediakan tanah penternakan di Setiu.

Katanya, kerajaan negeri sangat mengalu-alukan rakyat yang berminat untuk mengusahakan ternakan ayam telur bagi meningkatkan hasil sumber makanan negeri kerana Terengganu masih sebelum ini bergantung sepenuhnya bekalan telur dari luar kerana masih belum ada yang mengusahakannya.