Home Berita PAS Terengganu

Imuniti kelompok tanggungjawab bersama

157
SHARE

Oleh : Nooreni Abu Bakar

KUALA TERENGGANU, 21 Jun- Imuniti kelompok dilihat sebagai penyelamat dalam mengekang penularan wabak COVID-19.

Pakar Perubatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Rozimah Abdul Latif berkata, menjadi tanggungjawab anggota masyarakat untuk menyokong usaha murni kerajaan ini agar dapat kembali kepada kehidupan normal.

“Imuniti kelompok dapat diumpamakan seperti hujan, ramai orang pakai payung seolah-olah seperti berada di bawah khemah.

“Ini sudah tentunya dapat mengelakkan daripada basah, kalau basahpun hanya kaki sahaja atau tepi-tepi dan tidak memudaratkan,” terangnya di dalam Program ‘Segmen Khas Vaksin: Imuniti Kelompok, Tanggungjawab Bersama’.

Program bual bicara tersebut telah dikendalikan oleh Pegawai Perubatan Pakar KKM, Dr. Nor Higrayati Ahmad Kasah dan disiarkan secara langsung menerusi Lubna TV, baru-baru ini.

Beliau turut mengakui terdapat segelintir penerima yang sudah divaksin masih dijangkiti virus pembunuh itu tetapi mereka tidak bergejala dan apabila sembuh bebas daripada simptom Sindrom COVID-19 Jangka Masa Panjang.

“Berbanding dengan mereka yang tidak divaksin dan dijangkiti COVID-19, walaupun mereka sembuh, berkemungkinan mereka masih mempunyai simptom seperti badan lemah , ada jangkitan paru-paru, sukar bernafas seterusnya bermimpi seolah-olah seseorang ingin mencabut alat pernafasan, ” terangnya.

Justeru, beliau menyeru agar masyarakat segera mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 supaya dapat membebaskan diri daripada jangkitan dan dapat hidup seperti sebelum kehadiran virus itu di dunia ini.