CYBERJAYA – Impian Terengganu untuk memiliki siaran televisyen sendiri bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata pihaknya sedang berbincang dan meneliti dengan lebih terperinci langkah bagi memastikan hasrat itu tercapai.
“Di samping akan meneruskan langkah seterusnya dengan lebih maju berhubung agenda berkenaan.
“Jika keputusan berjaya dicapai dan dipertimbangkan kerajaan akan miliki saluran TV sendiri,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja ke MYTV Broadcasting Sdn Bhd di sini semalam.
Turut hadir Pengerah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun dan Pengarah Manis FM (Husa Network Sdn Bhd), Sazali Mohd Nor.
Terdahulu Mohd Nor berkata, dengan memiliki siaran TV sendiri pelbagai informasi menarik meliputi berita, budaya dan keunikan Terengganu dapat dipertontonkan kepada umum.
“Informasi tersebut dapat disalurkan kepada masyarakat di seluruh negara ini,” katanya.
Dalam pada itu ujarnya, masyarakat juga tidak ketinggalan bagi mengetahui segala perkembangan terkini.
“Sudah tentu ia akan menjadikan negeri Terengganu seiring dengan perkembangan semasa masyarakat pada masa kini dalam dunia pendigitalan,” ujarnya.