KUALA NERUS – Seramai 142 buah keluarga bertuah menerima kunci pemilikan bagi projek Rumah Pangsa Mampu Milik Tok Jembal Sejahtera yang telah dibangunkan di Kampung Tok Jembal, daerah Kuala Nerus.
Mewakili Menteri Besar, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri sentiasa cakna akan keperluan rakyat, khususnya dalam aspek penyediaan kediaman yang selesa, berkualiti dan mampu dimiliki oleh semua golongan terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.
“Usaha ini dilaksakan dengan penuh iltizam walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi dan kos pembinaan. Walaupun tekanan ekonomi global memberi kesan kepada industri pembinaan, kerajaan negeri tetap komited dalam menyediakan rumah yang selesa dan patuh syariah.
“Hari ini kita menyaksikan hasil usaha itu melalui pembinaan sebanyak 160 unit rumah pangsa mampu milik (RPMM) Tok Jembal Sejahtera di atas tapak seluas 4.20 ekar yang diperuntukkan khas untuk penduduk di Kuala Nerus dan sekitarnya.
“Projek perumahan ini merupakan cerminan keprihatinan dan keutamaan kerajaan dalam kesejahteraan rakyat dengan pemilikan rumah sendiri”, katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penyerahan Kunci RPMM Tok Jembal Sejahtera bertempat di Dewan Serbaguna Tok Jembal, pagi tadi.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Wan Adnan Wan Derahman; Ahli Dewan Undangan (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat; ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail serta ADUN Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak.
Bertemakan ‘Rumah Selesa, Rakyat Sejahtera’, Wan Sukairi berkata, projek yang telah menelan perbelanjaan sebanyak RM27.9 juta itu memuatkan lima blok bangunan bertingkat empat dengan keluasan selesa 801.48 kaki persegi bagi setiap unit rumah.
“Setiap rumah dilengkapi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air serta satu tempat letak kereta berbumbung.
“Perumahan ini turut menyediakan kemudahan sokongan bagi memastikan keselesaan dan keharmonian komuniti setempat termasuklah enam unit gerai niaga, sebuah taska, sebuah tadika, surau, bilik pengurusan jenazah, taman permainan kanak-kanak, gelanggang badminton serta sebuah dewan terbuka bagi kegunaan bersama,” katanya.
Tambah beliau, sebuah pejabat pengurusan juga telah disediakan bagi memastikan pengurusan penyelenggaraan fasiliti di kawasan perumahan baharu itu berjalan dengan lancar yang turut bertujuan untuk menjamin keselamatan penduduk.
Namun begitu jelasnya, untuk memastikan setiap keperluan dan penyelenggaraan yang perlu dilakukan secara berkala dapat dijalankan dengan sempurna, beliau berpesan kepada bakal penghuni RPMM tersebut untuk memainkan peranan masing-masing dengan baik.
“Saya mewakili kerajaan negeri ingin menyeru kepada semua penerima agar menjaga amanah ini sebaik mungkin, laksanakan tanggungjawab dengan memebuat bayaran bulanan secara berdisiplin.
“Insya-Allah jawatankuasa yang menjaga kawasan perumahan ini akan dibentuk dan akan ada bayaran bulanan yang pemilik-pemilik perlu bayar dengan harga yang paling minima demi untuk jaga kebersihan, keharmonian dan keselamatan yang ada dalam kawasan kejiranan kita semua ini,” pesannya.