Foto : Hanif Abbas
KUALA TERENGGANU – Imam dan bilal menjadi tonggak penting dalam memastikan masyarakat negeri ini terus berada dalam keadaan sejahtera melalui peranan yang dijalankan oleh mereka.
Timbalan Pengerusi Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Ridzuan Hashim berkata, bertepatan dengan tema ‘Pembangunan Masyarakat Berlandaskan Kepada Syariat’, imam dan bilal bukan sahaja sahaja memimpin ibadah tetapi juga berfungsi sebagai pendidik, penasihat, pemimpin sosial yang menghubungkan masyarakat dengan nilai-nilai Islam.
“Prinsip-prinsip syariat yang ditegakkan oleh imam dapat membantu menjadikan masyarakat saling menghormati dan bertanggungjawab serta saling bantu membantu serta memperkuat hubungan ‘Ukhwah Islamiyyah’ antara ummah.
“Saya menyeru agar setiap imam dan bilal dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan disiplin agar dapat menjadi rujukan kepada masyarakat setempat.
“Saya juga mengharapkan agar para imam dan bilal ini juga dapat memainkan peranan untuk menarik golongan muda supaya dekat hampir dengan masjid dan melazimi solat berjemaah dan memandu para belia ini untuk hidup berpandukan syariat Islam,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Multaqa Imam dan Bilal Peringkat negeri, di Masjid Tengku Tengah Zaharah, di sini semalam.
Dalam pada itu Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), M.Rozi Bidin berkata, multaqa itu menjadi wadah penting dalam memperkasakan imam dan bilal di negeri ini.
“Sebagaimana kita maklum bahawa imam dan bilal adalah orang yang dihormati dalam komuniti bukan sahaja memimpin dalam ibadah tetapi juga membawa amanah yang besar sebagai penasihat, pembimbing dan pendidik untuk memperkasakan ummah dengan ilmu akhlak dan kepimpinan yang berlandaskan syariat.
“Semoga multaqa ini dapat memberi gambaran serta menerangkan tentang tugas dan tanggungjawab imam dan bilal,” katanya.