Home Berita PAS Terengganu

Iktibar Kemerdekaan terselit air mata, keringat dan nyawa

33
SHARE

KUALA NERUS – Kerajaan Negeri mengajak rakyat supaya menghargai pengorbanan warga para pejuang dan ulama’ terdahulu dalam mempertahan negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke- 66 tahun.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Yahaya Ali berkata apabila mengimbau kembali sejarah, nusa dan bangsa kita sudah dijajah dan ditakluk sejak berabad-abad lamanya.

Katanya, asal usul penjajahan berlaku apabila Portugis menawan kota Melaka.

“Apa yang dapat kita saksikan, mereka datang dengan motif mentamadunkan bangsa Melayu yang dianggap primitif, malas dan berpuas hati dengan apa yang dimiliki, hal berkenaan berdasarkan slogan “beban orang putih”.

“Adakah dakwaan yang dilontarkan mereka benar? Mana mungkin sebuah bangsa primitif mempunyai institusi kesultanan dan perundangannya sendiri.

“Mana mungkin masyarakat malas dapat memajukan ekonomi perdagangannya menjadi pelabuhan entrepot dan mana mungkin rakyat yang berpuas hati dengan apa yang dimiliki sentiasa berkembang empayarnya demi penyebaran Islam,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Kebangsaaan Tahun 2023 di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Tambah Yahaya Ali, dalam era globalisasi ini, intelektual barat yang kononnya ‘masyarakat bertamadun’ giat berdebat perkara asas seperti masalah jantina (apa itu lelaki dan perempuan).

Bahkan, perkara yang seobjektif demikian masih tidak selesai, impaknya adalah kecelaruan identiti.

Sehubungan dengan itu, kita bersyukur oleh kerana negara ini mempunyai peruntukan meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam perkara tiga Perlembagaan Persekutuan.

“Menurut data Indeks Keamanan Global (GPI) 2023 yang dikeluarkan oleh Institute For Economics and Peace (IEP).

“Sebuah badan pemikir bebas berpangkalan di Sydney Australia, telah meletakkan negara Malaysia di tangga ke-19 daripada keseluruhan 163 negara dan tempat keempat bagi negara Asia Pasifik.

“Malaysia juga antara lima negara paling aman dari segi domain ketenteraan dan konflik dalaman dan antarabangsa.

“Perkara ini jelas menunjukkan semangat perpaduan yang kuat antara rakyat Malaysia menghadapi konflik dalaman serta hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara lain adalah baik,” katanya.

Walau bagaimanapun jelasnya, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan justeru, adalah menjadi tanggunggjawab setiap warganegara untuk sentiasa memperbaiki dan mengisi ruang tersebut.

“Ayuh sama-sama kita menelusuri sirah perjuangan Baginda Nabi Muhammad SAW.

“Perjuangan Baginda dan para sahabat RAnhum dalam membina dan membangunkan negara Islam Madinah sehingga menjadi sebuah negara yang disegani oleh kuasa besar yang lain di zaman Baginda SAW.

“Tidakkah kita juga teringin untuk melihat tanah air Malaysia yang kita cintai menjadi sedemikian rupa?

“Semangat cintakan tanah air memerlukan kita agar mendahulukan kepentingan negara melebihi kepentingan individu sepertimana yang boleh diteladani dari para pejuang kemerdekaan,” katanya.

Namun demikian tambah beliau, semangat cintakan negara tersebut haruslah seiring dengan perilaku bukannya hanya sekadar terlafaz dimulut.

“Tidak dapat tidak, kita mestilah menjaga dan memelihara asas-asas kenegaraan seperti institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Marcapada ini, kita mengetahui bahawa pelbagai isu dan cabaran yang sedang dihadapi oleh seluruh dunia. Begitu juga keadaannya di Malaysia yang terdedah kepada sebarang ancaman dan anasir buruk yang boleh menggugat kestabilan negara.

“Maka dengan itu, bersamalah kita mengenepikan jurang perselisihan dan perbezaan pendapat antara sesama kita rakyat Malaysia bagi menangani isu-isu yang berlaku di negara kita.

“Sikap cintakan agama, bangsa dan negara haruslah menjadi sumber kekuatan bagi rakyat Malaysia untuk terus bekerjasama membangunkan dan memajukan tanah tumpah darah kita meski pelbagai cabaran dan dugaan yang menghalang kerana negara kita adalah tanggungjawab kita,” ujarnya.