Oleh AZAHARI B.A.
“Tidak dinafikan kebanyakan individu yang memilih perguruan atau cikgu sebagai kerjaya memang ikhlas untuk mendidik atau mengajar anak-anak muridnya untuk menjadi insan yang berpengetahuan dan cemerlang dalam kehidupan, tapi ikhlasnya guru-guru PASTI sangat unik,” kata Tokoh Guru PASTI Negeri Pahang 2023, Siti Ayuni Yahaya.
“Kami meletakkan pahala di sisi Allah SWT sebagai ganjaran utama yang ingin diraih, dan saham di akhirat sebagai hadiah kepada khidmat yang dilabur.
“Kami tidak menjadikan PASTI sebagai tempat untuk memperolehi pendapatan semata-mata, tapi kami menjadikannya sebagai tempat beribadah menyampaikan ilmu Allah kepada anak-anak yang hadir untuk mengenal dan memahami Islam agamanya.
“Kami sering diperingatkan agar memperbaharui niat ‘bekerja kerana Allah SWT’ pada setiap hari,” katanya ketika dihubungi sempena anugerah yang diterimanya Ahad lalu.
Siti Ayuni dianugerahkan Tokoh Guru PASTI Negeri Pahang 2023 pada majlis Sambutan Hari Guru 2023 Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang yang berlangsung di Indera Mahkota dekat Kuantan.
Beliau yang kini mengajar di PASTI Al-Mukmin, Kampung Panching dekat Kuantan sejak 8 tahun lalu juga menjawat jawatan Pengerusi Majlis Guru PASTI Negeri Pahang sesi 2022-2024 selain selaku Ahli Jawatankuasa Majlis Guru PASTI Malaysia.
Beliau turut menerima hadiah tiket penerbangan bagi mengerjakan ibadah umrah.