Home Berita PAS Terengganu

Ikan pemangsa asing ancam Sungai Terengganu

5
SHARE

HULU TERENGGANU – Sungai-sungai utama di Terengganu kini berdepan ancaman senyap daripada spesies ikan pemangsa asing yang mampu menggugat kestabilan ekosistem perairan negeri, khususnya apabila ikan seperti baung ekor merah dan peacock bass semakin banyak ditangkap oleh nelayan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, walaupun kehadiran ikan pemangsa ini belum sampai ke tahap membimbangkan, potensi ancamannya tidak boleh dipandang ringan.

“Masalah ikan pemangsa masih ada di Terengganu, tapi tak terlalu ketara.

“Kita terima laporan daripada nelayan tentang tangkapan ikan baung ekor merah (Hemibagrus wyckioides), ikan ‘peacock bass’ dan beberapa spesies asing lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Pelepasan benih ikan , penyerahan bantuan peralatan dan insentif input akuakultur serta pelancaran kajian penandaan peralatan menangkap ikan nelayan darat bertempat di Sungai Terengganu, Kampung Temir, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Terengganu, Pang Nyukang; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail.

Menurut beliau, beberapa sungai utama termasuk Sungai Terengganu telah dikesan menjadi lokasi kewujudan baung ekor merah yang boleh membesar sehingga puluhan kilogram seekor.

“Tidak seperti di negeri lain yang berdepan ledakan saiz luar biasa, di Terengganu keadaannya masih terkawal.

“Namun kita perlu lebih berwaspada agar sungai-sungai kita tidak menjadi kolam gergasi untuk pemangsa asing,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa spesies-spesies seperti ikan talapia, lampam jawa dan baung ekor merah sememangnya diluluskan untuk akuakultur, namun haram untuk dilepaskan ke perairan awam.

“Kita memang nasihatkan kepada penternak akuakultur, sebab beberapa spesies ini memang diluluskan untuk penternakan.

“Tapi tak diluluskan untuk dilepaskan ke perairan umum, seperti ikan talapia, ikan lampam jawa, ini adalah spesies asing,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau menyelar sikap segelintir individu yang melepaskan ikan hobi seperti ‘peacock bass’ dan ‘flower horn’ ke sungai apabila sudah tidak mahu memeliharanya.

“Ini adalah ikan hobi pada asalnya, termasuk ikan ‘flower horn’.

“Bila dah tak nak bela, orang lepas ke perairan umum dan menjadi ikan pemangsa yang mengancam ekosistem di perairan kita,” ujarnya.

Dr. Azman menyeru semua pihak lebih bertanggungjawab agar keseimbangan sungai warisan terus terpelihara daripada kerakusan spesies asing yang tidak diundang.