Home Berita PAS Kelantan

Ijtimak Guru Pondok Kelantan: Pertahankan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

152
SHARE

PASIR MAS, 3 Jul: Menurut resolusi Ijtimak Guru-Guru Pondok Negeri Kelantan Kali Kedua Tahun 1443h/2022M, hasil daripada Muzakarah Ulamak Negeri Kelantan, telah menegaskan bahawa, ajaran Wahabi jelas bercanggah dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu (Asya’irah dan Maturidiah) dan ianya juga bertentangan dengan mazhab Muktabar dalam bab feqah. Penyelewengan ajaran Wahabi adalah pada sudut Akidah, Feqah dan Tasawuf. Ajaran Wahabi bukanlah kefahaman para ulama Salafussoleh. Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan secara jelas melalui pengertian dalam bahagian 4 (1) “Ahlus Sunnah Wal Jamaah” maknanya ialah mazhab Abu Al-Hassan Al-Ash’ari dan Abu Mansoor AlMaturidi dan orang yang mengikut jejak langkah keduanya”.

Tambahnya lagi, Ini adalah pegangan para ulama Nusantara antaranya seperti Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Abdullah Fahim, Tok Kenali dan ramai lagi ulama terutamanya dari kalangan ulama pondok khususnya dari Negeri Kelantan.

Sementara itu, dalam pertemuan kali ini, kesemua mereka (guru-guru pondok) melalui Kesatuan Pondok Negeri Kelantan sepakat menyatakan pendirian mereka dalam Ijtimak Guru-Guru Pondok Negeri Kelantan Kali Kedua ini: Selaras dengan peruntukan 4 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang telah mengaris-ertikan “Ahlus Sunnah Wal Jamaah maknanya ialah Mazhab Abu Hassan al-Asha’ari dan Abu Mansoor al Maturidi dan orang yang mengikut jejak langkah keduanya” Begitu juga dengan peruntukan di bawah Seksyen 37 (1) dan (2) bagi Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), yang mengandungi lapan perkara utama.

Diantaranya adalah menjaga kewajipan memperkukuhkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut pegangan dan huraian Mazhab Asha’irah dan Maturidiah serta menolak fahaman dan huraian yang bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti fahaman syiah, muktazilah, khawarij, wahabi (mujassimah), liberalisme, pluralisme dan lain-lainnya.

Selain itu, Pihak berkuasa Negeri perlu membuka ruang serta memperbanyakkan peluang bagi para ulama’ pondok terlibat dalam program untuk mengadakan pengajian kitab secara talaqqi seperti program Madinah Ramadan dan Medan Ilmu. Manakala perlu dihapuskan matapelajaran secara formal dan tidak formal (seperti usrah) yang mempunyai huraian akidah yang menyalahi prinsip Mazhab Asha’irah Maturidiah seperti huraian akidah bertunjangkan pembahagian tauhid kepada tiga, Rububiyyah, Uluhiyyah dan al-Asma wa as-Sifat.

Memorandum lengkap telah diserahkan kepada YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan pada 4 Mac 2022 di Kediaman Rasmi Menteri Besar juga kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V (Kelima) melalui Ketua Pengelola Istana Kelantan pada 7 Jun 2022 di Pejabat Sultan Kelantan. Sebelum itu, Ijtimak Guru-Guru Pondok Negeri Kelantan Kali Pertama telah diadakan pada 19 Mac bertempat di Pondok Darul Muttaqin, Pasir Puteh Kelantan.

Ijtimak Guru Pondok Kelantan kali ke-2 Penerangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diadakan di Pondok Gelang Mas, semalam telah dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Dato’ Panglima Perang Nassuruddin Daud, Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad S.S Datuk Haji Luqman B. Abdullah, Maulana Hussein B. Abdul Karim, dan Syeikh Haji Wazir B. Awang.