Home Berita PAS Wilayah

Iftar Jama’ie Bugar Kekuatan Ahli PAS Batu dan PAS Serdang

768
SHARE

KUALA LUMPUR, 22 MEI – PAS Kawasan Batu dan Serdang telah bersama – sama menganjurkan Iftar Jama’ie di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, baru – baru ini.

Program tersebut berjaya mengumpulkan lebih kurang 160 orang ahli PAS dari kedua – dua kawasan dan menjadi medan untuk mereka berukhuwwah serta membugar semangat setelah selesai Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14) yang lalu.

Tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Nushi Mahfoz selaku Timbalan Yang Di Pertua PAS Kawasan Serdang dan mantan calon PAS bagi DUN Sg Ramal mengingatkan para ahli PAS tentang tiga peristiwa besar dalam bulan Ramadhan.

“Ibrah dalam Perang Badar menunjukkan bilangan yang kecil bukan bermakna lemah. Turunnya Al Quran adalah untuk dilaksanakan perintah – perintah di dalam nya dan malam Lailatul Qadar adalah supaya kita terus istiqamah meningkatkan ibadah hingga ke saat – saat akhir Ramadhan.”

Ustaz Nushi juga berpesan agar jentera PAS terus menguatkan diri untuk gerak kerja jemaah dan bukan hanya semasa PRU saja. “Tingkatkan amal ibadat seperti tahajud, baca al Quran untuk bina kekuatan,” ujar beliau di akhir tazkirah tersebut.

Di samping itu juga, Ustaz Azhar Yahya selaku Yang Di Pertua PAS Kawasan Batu dan mantan calon PAS bagi Parlimen Batu turut berkongsi amalan tambahan untuk membina kekuatan.

“Mengikut Imam Hassan al Banna, jika kita berasa lemah semangat, hendaklah beristighfar, kemudian jika tidak cukup lagi, zikrul maut atau mengingati mati iaitu dengan menziarahi orang yang sedang nazak dan bacakan surah Yassin padanya kerana surah ini boleh menenangkan hati. Akhir sekali, dengan menziarahi kubur atau pengebumian jenazah untuk mengingatkan kita bahawa sehebat mana pun manusia, bila mati nanti hanya tinggal tulang belulang.”

Pengisian dari pimpinan itu nyata memberi semangat kepada jentera PAS untuk terus bergerak demi memperjuangkan agama Islam dalam kehidupan ini. Program tersebut diteruskan lagi dengan iftar dan berakhir dengan solat terawih berjemaah.