Home Berita PAS Selangor

ICERD ; PEMIMPIN KERAJAAN PH USAH RUNGKAI KONTRAK SOSIAL YANG HARMONI

1123
SHARE

Oleh ; Ustaz Muhammad Najhan Halim

Usaha untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pemansuhan Semua Diskriminasi Kaum atau ICERD oleh Kerajaan Pakatan Harapan adalah satu cubaan untuk mengkhianati Kontrak Sosial yang sudah diasimilasikan dan diharmonikan dalam Perlembagaan Malaysia sejak negara berjaya mencapai kemerdekaan.

Sekalipun kontrak sosial ini tidak dinyatakan secara jelas dan terus terang dalam Perlembagaan Malaysia, hakikat dan sejarahnya sudah mampu difahami dan dihayati menerusi pembetukan negara Malaysia yang pada awalnya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Kontrak sosial adalah satu bentuk permuafakatan antara orang Melayu dan Bukan Melayu sebelum kemerdekaan.

Permuafakatan ini adalah bagi menjamin keharmonian dan perpaduan kaum yang melibatkan 5 elemen utama yang kemudiannya dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Perkara tersebut ialah Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, kedudukan Raja-raja dan hak kewarganegaraan mengikut prinsip jus soli.(Siti Ajar Hj Ikhsan dan Safiah Ahmad: Kontrak Sosial dalam Pengajaran dan Pembelajaran Lisan, tinjauan terhadap perspektif pelajar 2014)

Kontrak sosial ini sebenarnya adalah persefahaman berdasarkan kepada peristiwa sejarah masa lampau yang perlu dihayati dan dicintai sebagai pedoman dan jatidiri yang dibawa dari generasi ke generasi. Ia membentuk kekuatan dan ketahanan yang kental dan kukuh terhadap peri pentingnya nilai iaitu saling memahami, menghormati dan bertolak ansur dalam kehidupan masyarakat yang majmuk.

Oleh itu, kontrak sosial adalah satu semangat dalaman yang *kepentingannya tidak semata-mata dapat dihujahkan melalui perundangan dan kajian ilmiah tetapi juga menerusi sejarah.* (Siti Ajar Hj Ikhsan dan Safiah Ahmad: Kontrak Sosial dalam Pengajaran dan Pembelajaran Lisan, tinjauan terhadap perspektif pelajar 2014).

Semangat mempertahankan identiti negara bangsa melalui inspirasi fakta sejarah adalah diperlukan pada saat dan waktu ini agar keharmonian dan perpaduan kaum tidak lagi dicemari insiden yang pahit satu ketika dahulu.

Kerajaan PH sememangnya mengetahui perkara ini, tetapi mereka bersikap tamak haloba kuasa, rakus, berbuat-buat tidak tahu dan dipengaruhi oleh pihak berkepentingan dari luar yang sentiasa meneropong dari jauh dengan penuh kedengkian terhadap Malaysia dan Islam khasnya di negara ini. Ini kerana Malaysia adalah diantara negara Asia Tenggara yang berjaya mempertahankan jatidiri dan identiti bangsa dan agama sekalipun pernah dijajah bersilih ganti oleh penakluk selama 500 tahun.

Sekalipun Pakatan Harapan bercita-cita untuk membawa Malaysia baharu selepas PRU14, bukan bererti ia perlu mengikut telunjuk membuta tuli dan membabi buta apa sahaja yang dilakukan oleh dunia antarabangsa. Tidak semua yang dilakukan oleh antarabangsa adalah sesuai diamalkan dan dijadikan dasar dalam negara ini.

Pernah kita menolak Akta Keselamatan Dalam Negeri ISA yang disalahguna terhadap musuh politik selepas ia sebagai usaha membenteras komunis dan subversif. ISA pernah dipertahankan oleh Kerajaan Malaysia pimpinan bekas PM ke 4 yang memerintah selama 22 tahun dengan berhujah bahawa ia adalah akta digunakan oleh negara dan di peringkat antabangsa. Akhirnya akta tersebut dimansuhkan. Ini kerana apa? Sudah tentunya ialah kerana ia tidak semestinya apa yang diamalkan di negara luar, ia sesuai diamalkan di negara ini. Walaupun akta ini digantikan dengan SOSMA atau seumpamanya, tetapi sekurang-kurangnya penolakan terhadap akta tersebut dengan prinsip jelas.

Sejak ICERD diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB pada tahun 1969, Malaysia diantara negara-negara yang lain yang tidak menandatanganinya. Apa sebabnya? Apakah pemimpin Malaysia yang pada waktu itu juga terdiri daripada pelbagai etnik dan bangsa serta agama tidak pandai menilai keperluan ICERD dan secerdik pemimpin Malaysia sekarang? Bukankah pada tahun yang sama berlaku dalam negara peristiwa pahit dan hitam. Tidak sama sekali! Jawapannya kerana mereka melihat tiada keperluan ICERD itu diterimapakai dalam negara. Samada seseorang itu jahil tentang negaranya sendiri, atau tamak loba kuasa ataupun bersikap jahat terhadap umat Melayu, Islam dan Bumiputera sahaja yang menerima ICERD ini.

Jangan dikaitkan pula menolak ICERD ini adalah satu bentuk perkauman sempit dan menyalahi agama Islam. Ada pihak cuba nak menggambarkan bahawa usaha mempertahankan Ketuanan Melayu dengan menolak ICERD. Sedangkan isu ICERD adalah satu bentuk helah yang cipta oleh barat yang berasaskan idealisme kebebasan mutlak dan roh sekularisme liberal yang berselindung disebalik kebebasan yang kononnya hanya dimiliki oleh barat dan tidak pada yang lain. Selama pihak yang tidak ikut telunjuk barat terus akan dianggap musuh kepada kebebasan, kukubesi dan tirani bagi pandangan mereka. Negara dan masyarakat dunia Islam seringkali dicop sebegini apabila tidak bersama dengan agenda mereka. Ia cuba menggambarkan bahawa negara yang tidak bersama agenda barat yang diPBBkan itu maka ia adalah salah dan jahat.

Islam pada hakikat sebenarnya adalah agama dan cara hidup yang paling awal dan praktikal dalam meraikan kepelbagaian masyarakat yang multi etnik dan agama. Islam lah agama yang memahami kewujudan agama-agama dan pelbagai bangsa dalam kalangan manusia. Ayat Al Quran di antaranya menyatakan prinsip ini dengan jelas dan teguh, firmanNya dalam surah al Hujurat ayat 13,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya, “..Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)…”

FirmaNya lagi, surah al Baqarah ayat 256,

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ

Maksudnya, “..Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)…”

Lagi firmanNya dalam surah al Mumtahanah ayat 8,

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya, “…Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil…”.

Ayat ini merupakan pedoman dan manual kepada umat Islam yang didatangkan oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad saw dan Umatnya bagaimana caranya untuk menangani kepelbagaian bangsa dan agama dalam kalangan masyarakat Umat Islam.

Pihak yang menyeru dan mencadangkan Ratifikasi ICERD ini sebenarnya perlu diajar dan diingatkan bahawa negara ini ada empunya jatidiri dan prinsip muafakat yang telah berjasa kepada mengekalkan keharmonian dan persefahaman melalui tolak ansur yang semangat dalaman yang tidak sekadar undang-undang dan akta sahaja yang boleh menyelesaikan semua perkara. Ia terdapat dalam jiwa yang memiliki kasih sayang, semangat cintakan bangsa dan negara tanahair yang dibina dan dipertahankan dengan keringat dan peluh serta darah daripada hilang ditelan masa dan zaman.

Kami ingin beri nasihat kepada Menteri-menteri Kerajaan PH bahawa ingat jawatan kamu itu adalah untuk memelihara negara ini dan bukannya jadikan negara ini untuk mengikut telunjuk pihak yang rakus dan tamak.

Bantah ICERD, Tolak ICERD, Tidak ICERD.

Penulis adalah Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
20 November 2018.