Home Minda Presiden

ICERD: Memperkenalkan Siapa Dirinya

3321
SHARE

Minda Presiden PAS

ICERD: MEMPERKENALKAN SIAPA DIRINYA


ICERD merupakan ringkasan kepada International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination atau dalam Bahasa Melayu, Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum.

Isu ini laksana batu besar yang dihempas ke dalam lubuk air yang tenang dan disangkanya tiada buaya. Apabila dihempas menampakkan semuanya, muncul di permukaan air segala yang ada di dalam lubuk itu. Rupanya ada buaya, ular, belut, ikan besar dan kecil termasuk sampah sarap yang menyampah.

Ada yang membuat kenyataan yang tegas dan berani, ada juga yang berpura-pura dan ada yang menunjukkan kebodohannya. Lebih malang ada juga yang menunjukkan sikap oportunis, laksana menangguk di air yang keruh bagi mengangkat diri umpama ‘political animal’, yang boleh hidup di semua alam.

Huraiannya, ada yang menyatakan dengan tegas wajib ditolak dan mustahil dilaksanakan dengan maksud bagi menutup pintu. Ada juga yang memberi jalan lagi pada masa akan datang apabila tiba masa yang sesuai, mafhumnya tidak menolak ICERD.

Rasulullah S.A.W. memberikan panduan kepada penganut Islam yang beriman dan budiman:

مَنِ الْتَمَسَ رِضَاءَ اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ كَفَاهُ اللَّهُ مُؤْنَةَ النَّاسِ، وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَاءَ النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ وَكَلَهُ اللَّهُ إِلَى النَّاسِ

“Sesiapa yang mahukan keredhaan Allah walaupun dimarahi manusia, nescaya Allah meredhainya, dan Allah menjadikan manusia meredhainya. Barangsiapa yang mahukan keredhaan manusia walaupun dimurkai Allah, nescaya Allah murka terhadapnya dan dijadikan manusia juga memarahinya”. (Riwayat At-Tirmizi)

Tegasnya bahawa kita wajib menolak dan mengharamkan ICERD selama-lamanya, kerana kita mempunyai takrif yang merdeka daripada pengaruh penjajah dan jahiliah khususnya terhadap perkataan diskriminasi, hak, keadilan dan kebenaran.

Takrif kita mengikut ilmu mantiq (asas ilmu falsafah yang betul) disebut jami’ dan mani’, bermaksud mencakupi maksud yang sebenar dan menolak perkara yang tidak benar kepada sesuatu istilah bagi sesuatu takrif.

Maka takrif diskriminasi, hak dan keadilan mengikut fahaman kita yang beragama Islam, bahkan semua yang beragama adalah berbeza dengan kalangan yang tidak beragama. Kita tetap berkeyakinan bahawa takrif kita adalah relevan sepanjang zaman.

Adil mengikut takrif kita ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Maka amatlah wajar diletakkan hak istimewa kepada kaum tertentu bagi menampung kelemahan yang berlaku seperti memberikan hak istimewa kepada kaum Bumiputera kerana dipinggirkan pada zaman penjajah. Dalam masa sama, tanpa menafikan hak kaum lain yang masih banyak terbiar. Selain itu juga, memberi hak istimewa kepada kaum wanita kerana peranannya menjaga anak yang tidak boleh dilakukan oleh kaum lelaki.

Apa yang dicatat dalam Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan. Ketetapan ini tidaklah tersasul seperti teori Barat yang dibanggakan oleh pengikutnya sehingga memelihara hak asasi binatang dengan melupakan hak asasi manusia.

Berlaku di Amerika Syarikat, negara yang dianggap paling menjadi contoh di kalangan yang memperjuangkan konsep tersebut (diskriminasi, hak dan keadilan), kini meletakkan kaum penduduk asal yang dinamakan ‘Red Indian’ itu sudah dilupakan, kerana mereka dibiarkan hidup dalam keadaan dipinggirkan daripada pembangunan serta dibiarkan di tepi jalanan.

Berbanggakah wanita kita sehingga dijadikan bahan iklan barangan murah? Bermula daripada kalangan yang mahu menjual sabun, rokok dan kertas tisu, sehinggalah kereta berjenama yang paling tinggi harganya, tetapi dipaparkan gambar wanita untuk dieksploitasikan.

Ada di kalangan yang buta Al-Quran dan Hadis membuat kenyataan bahawa hak istimewa tidak disebut di dalam kedua-dua sumber syara’ itu. Hakikatnya di dalam Al-Quran telah dinaskan hak istimewa daripada bahagian Dzil Qurba (keluarga Rasulullah S.A.W.) yang diharamkan menerima zakat tetapi dibolehkan dari sumber yang lain.

Al-Quran juga menyebut hak istimewa anak yatim. Begitu juga hak orang bukan Islam tidak diwajibkan zakat harta yang tidak boleh dihapuskan kewajipannya terhadap orang Islam, tetapi mereka boleh dikenakan cukai yang boleh dihapuskan apabila tiada keperluan.

Ada juga hadis yang memberi hak istimewa kepada wanita Islam yang meninggalkan solat tetapi tidak diwajibkan qadha’, kerana keuzuran bulanan yang menjadi nalurinya, tiada pada kaum lelaki dan lain-lain lagi.

Peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan sedia ada yang berkaitan halangan melakukan diskriminasi terhadap bukan Islam yang berkonsepkan hak keadilan dan persamaan, sudah memenuhi keperluan masyarakat majmuk di negara kita yang lebih baik berbanding daripada ICERD. Oleh yang demikian, kita sudah merasai betapa keamanan telah wujud di negara ini, tanpa peduli terhadap perakus yang sentiasa mahu memuaskan hawa nafsunya sahaja sehingga mengganas dengan sifat fanatik yang melampau. Apa yang berlaku adanya kelemahan dalam aspek pelaksanaan, boleh diselesaikan dengan cara kita tersendiri, yang tidak memerlukan kita mengubah perkara dasar.

Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan dan hak beragama lain telah menjadi kontrak sosial yang sudah mencukupi mengikut nalurinya. Umat Islam wajib menolak konsep Liberal yang menyamakan semua agama, kerana sifat semua penganut agama wajib percaya bahawa agamanya sahaja yang benar, bukan dianggap agama yang dianutnya sama sahaja dengan agama lain. Maka perlu difahami perbezaan di antara menegakkan kebenaran terhadap agama masing-masing dan hak kebebasan menganut agama masing-masing.

Begitu juga konsep Barat yang menghalalkan LGBT dengan menganggap berlaku diskriminasi jikalau kita mengharamkannya kerana kepercayaan semua agama mengharamkannya disebabkan bercanggah dengan fitrah kejadian manusia. Kalau diizinkan boleh menyebabkan merebaknya penyakit yang sangat berbahaya kepada individu, keluarga dan masyarakat. LGBT hanya layak di negara yang tidak beragama.

Adapun kepada kita, adalah menjadi keyakinan bahawa mengiktiraf ICERD laksana menebuk lubang dinding rumah kita bagi memberi laluan kepada nyamuk aedes masuk ke dalam rumah kerana hanya melihat pembiakannya daripada air yang bersih, tanpa menyedari terhadap bahayanya yang boleh membawa maut.

Ini bukan sekadar menyelamatkan rumah yang kecil, tetapi menyelamatkan kedaulatan umat dan negara. Anggaplah mereka daripada kalangan yang membawa dan memperjuangkannya adalah petualang yang wajib disanggah dan ditentang.

Akhirnya, ICERD adalah agenda Freemason yang bertujuan merosakkan agama, bangsa dan negara.

Rasulullah S.A.W. bersabda:

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ، وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ

“Berwaspadalah, nanti kamu akan dipengaruhi mengikut jalan yang salah, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggalah kamu diajak masuk ke dalam lubang biawak, kamu ikut juga (sehiggalah kamu sesat binasa)”. (Muttafaqun ‘Alaih)

Maka umat Islam, umat yang beragama, kaum Bumiputera dan semua bangsa hendaklah bersatu menentang agenda ICERD, kerana konsepnya yang sebenar tidak beragama dan berkemanusiaan. Jangan terpengaruh dengan Barat yang sudah meninggalkan agama dan etika kemanusiaan yang sebenarnya.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 14 Rabi’ul Awwal 1440 / 22 November 2018