Home Berita PAS Terengganu

Ibu tunggal terharu tidak dipinggir

54
SHARE

ALOR SETAR – Seorang ibu tunggal yang merantau di Kedah terharu apabila tidak dipinggir malah mendapat perhatian kerajaan negeri.

Kehidupan sebagai  ibu tunggal bagi Nor Ashikin Ibrahim, 43, bukanlah perkara mudah kerana terpaksa melalui pelbagai keperitan hidup demi memastikan tiga anaknya mendapat pendidikan sempurna.

Katanya, keprihatinan kerajaan Terengganu memilih dirinya bagi mendapatkan dana i-Perantau sangat meringankan bebanannya yang hanya berkerja sebagai kerani dengan pendapatan RM 1,500 sebulan.

“Saya sangat berbesar hati menerima bantuan ini di saat saya memerlukan sedikit tambahan perbelanjaan untuk menampung keperluan anak sulung saya yang memperolehi keputusan 8 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini bagi melanjutkan pelajaran.

“Dua lagi anak saya turut bersekolah masing-masing berusia 16 tahun serta 13 tahun, banyak juga duit perlu digunakan untuk membiayai persekolahan, jadi saya sangat teruja dengan sikap yang ditunjukkan oleh kerajaan kepada saya yang telah merantau ke sini sejak 20 tahun yang lalu,” jelasnya.

Dia yang merupakan salah seorang daripada 80 penerima dana i-Perantau Zon Utara berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kepimpinan Kerajaan negeri bertemu perantau di Kediaman Menteri Besar Kedah, di sini semalam.

Menurut Nor Ashikin, episod kehidupan keluarganya mula berubah apabila bercerai dengan suami tujuh tahun lalu.

“Setelah itu saya membesarkan anak saya dengan penuh susah payah dalam mengalas segala tanggungjawab demi membesarkan mereka,” ujarnya.

Katanya, hasrat untuk pulang ke Terengganu pernah terdetik dalam nalurinya, namun kerana memikirkan perihal kerja dia terpaksa menangguhkan dahulu impian serta niatnya itu.

“Saya yakin dan percaya kerajaan negeri sekarang pasti akan membuat perubahan yang baik untuk rakyatnya dari apa yang disampaikan oleh YB Wan Sukairi,” katanya yang berasal dari Bukit Payong.

Dalam pada itu menurutnya, usaha kerajaan negeri menyantuni anak Terengganu di perantau merupakan suatu perkara baik yang sewajarnya diteruskan.

“Saya pertama kali terlibat dengan program seumpama ini, mendapat begitu banyak maklumat yang saya tidak ketahui selama ini di mana ia sangat berguna kepada saya bagi mengetahui segala kebaikan yang dilakukan kerajaan negeri.

“Dalam masa yang sama menzahirkan pimpinan kerajaan negeri sangat mesra rakyat,” ujarnya lagi.