HULU TERENGGANU – “Saya kena kuat dan reda dengan ketentuan Illahi walaupun rumah dan barangan kelengkapan persiapan Aidilfitri musnah terbakar,” kata tukang jahit, Zuraidah Muhammad, 40, dari Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong, dekat sini, selepas rumahnya musnah terbakar dalam kejadian malam tadi.
Lebih menyedihkan, lebih 200 helai pakaian pelanggan turut musnah tanpa dapat diselamatkan.
Menurutnya, dia berhasrat untuk memasuki rumah yang terbakar bagi menyelamatkan pakaian tersebut, namun usahanya dihalang oleh jirannya, Norsiah Sharif, 40, yang tinggal berhadapan rumahnya.
“Ada pakaian yang baru siap dijahit dan ada juga yang sedang dibaiki. Saya hanya menyedari kebakaran setelah pulang dari rumah jiran untuk mengambil pakaian yang perlu dibaiki.
“Setibanya di perkarangan rumah, saya melihat api sudah marak dan terus menjerit meminta pertolongan. Saya cuba untuk menyelamatkan pakaian pelanggan, tetapi jiran segera menarik saya ke kawasan rumahnya,” katanya.
Sementara itu, anaknya, Muhammad Muqri Mat Rahim, 15, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8.25 malam ketika dia sedang menonton televisyen manakala adiknya, Muhammad Aiman Hakimi, 12, berada di dapur.
“Dua adik lain, Muhammad Amiruddin Harullah, 9, dan Zara Delisha, 5, berada di luar rumah. Tiba-tiba terdengar bunyi dari bilik ibu dan api terus marak sebelum beberapa letupan kedengaran.
“Saya segera menjerit meminta Muhammad Aiman keluar dari rumah, dan ketika itu ibu tiba di tempat kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, PBK 1 Mohd. Zaharim Yusof, memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian sekitar jam 8.30 malam.
“Seramai 14 anggota, termasuk bantuan dari BBP Wakaf Tapai, Marang, telah dikerahkan ke lokasi kejadian. Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separa kekal yang didiami lima sekeluarga.
“Kejadian ini menyebabkan rumah tersebut musnah sepenuhnya. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi.