Oleh: MOHD SAFWAN MOHAMMAD
13 Julai 2022
SEMPORNA: Lajnah Kebajikan PAS Sabah dengan kerjasama PAS Semporna melaksanakan Program Ibadah Korban sempena Hari Raya Aidiladha bersama masyarakat di Kampung Tonggulangan, di sini pada Isnin.
Menurut Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Sabah, Abd Muen Mohd Noor, Hari Raya Aidiladha merupakan nikmat dari Allah yang wajib kita syukuri dengan berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan perintahNya.
“Setiap orang beriman, wajib mengetahui dan menghayati kisah agung pengorbanan Nabi Ibrahim A.S, Nabi Ismail A.S dan Siti Hajar dalam melaksanakan perintah Allah SWT,” katanya lagi.
Seramai 25 orang petugas termasuk penduduk kampung bersama-sama menjayakan kerja-kerja penyembelihan seekor lembu dan sebanyak 55 buah rumah asnaf telah menerima agihan daging korban.
Turut hadir, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah merangkap Ketua Pemuda PAS Semporna, Muhammad Huzaini Rohani, Ketua Lajnah Kebajikan PAS Semporna, Razis Asparin serta beberapa ahli jawatankuasa PAS Semporna.
“Saya merakamkan berbanyak-banyak terima kasih atas kerjasama dari masyarakat kampung dalam program ibadah korban ini”, jelas Razis yang juga pengarah program.