Home Berita PAS Sabah

Ibadah korban latih diri hayati pengorbanan nabi

130
SHARE

Oleh : Salmi Din
13 Julai 2022
 
KALABAKAN : PAS Kawasan Kalabakan dengan kerjasama PASTI Pra Tahfiz Kalabakan, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat kawasannya telah melaksanakan ibadah korban dengan menumbangkan 14 ekor lembu di sini pada Ahad dan Isnin lepas.
 
Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kalabakan, Nor Jannah JamJam, mengajak masyarakat melaksanakan ibadah di samping melatih diri menghayati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail demi taatnya mereka kepada perintah Allah.

Menurut Nor Jannah lagi, sebanyak 200kg daging korban telah diagihkan kepada golongan asnaf yang berada di sekitar Kawasan Kalabakan seperti Luasong, FELDA Umas, Merotai, Burut, Kg Pengkalan Bombalai, Pasir Putih, Taman Semarak dan Kg Muhibbah Raya.

Turut hadir Ketua Penerangan PAS Sabah merangkap Yang Dipertua PAS Kalabakan, Ahmad Dullah, Naib Yang Dipertua PAS Kalabakan, Usman Madeaming dan Pengurus PASTI Kalabakan, Jupri Tallong.

Usman berharap semoga penganjuran program ini yang diadakan setiap tahun mendapat sambutan yang menggalakkan lagi pada tahun hadapan.

“Kami hanya menjadi perantara untuk memudahkan masyarakat melaksanakan ibadah korban dengan sempurna di samping mewujudkan masyarakat yang harmoni dan prihatin,” ujarnya lagi.
 
Menurut peserta korban, Seniwati Bakri, 57 pula, beliau berpuas hati dengan perlaksanaan korban pada kali ini kerana para petugas dapat melaksanakan tugas dengan cepat dan pantas serta ramah mesra bersama peserta korban.

“Tidak terasa penat membantu malah berasa seronok dan teruja, insyaallah tahun depan saya akan mengikuti ibadah korban dengan PAS Kalabakan lagi,” ujarnya.