KUALA LUMPUR, 8 Jun 2025 – Hari Raya Aidiladha 1446H terus disambut penuh penghayatan oleh umat Islam di seluruh negara. Di sebalik gema takbir dan semangat pengorbanan, PAS Kawasan Batu memanfaatkan hari mulia ini untuk memperkukuh ukhuwah dan menyemai nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Bertempat di Pusat Penyembelihan di Gombak, seekor lembu dan lima ekor kambing telah dikorbankan hasil sumbangan ahli-ahli PAS serta dermawan prihatin. Proses penyembelihan yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu diikuti dengan aktiviti melapah, memasak dan mengagih daging korban secara gotong royong di Markaz PAS Kawasan Batu, Taman Koperasi Polis Fasa 2.
Turut menyerikan program ialah kehadiran Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ustaz Azhar Yahya, yang turut turun padang menyantuni penduduk serta menyampaikan agihan kepada golongan asnaf dan warga emas.
Menurut beliau, ibadah korban bukan sekadar simbol ketaatan kepada Allah SWT, tetapi menjadi wahana memperkukuh kesatuan ummah, terutama dalam suasana politik yang mencabar kini.
“PAS sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan perjuangan. Program seperti ini menjadi jambatan hati antara pemimpin dan masyarakat, di samping menyampaikan mesej Islam secara menyeluruh,” ujar Ustaz Azhar.
Suasana harmoni dan semangat kekeluargaan jelas terpancar di wajah para penduduk yang turut serta dalam aktiviti gotong royong. Kehadiran anak muda, wanita dan para veteran PAS membuktikan bahawa perjuangan Islam mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Hari Raya Aidiladha mengingatkan umat tentang pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS – simbol kesetiaan dan keikhlasan dalam menunaikan perintah Allah. Nilai ini jugalah yang menjadi asas kekuatan perjuangan PAS dalam membawa agenda Islam demi kesejahteraan negara.
PAS Kawasan Batu menyeru agar semangat Aidiladha ini dijadikan titik tolak untuk memperkukuh muafakat, mempertingkat kerja amal dan memperjuang kebenaran secara istiqamah, khususnya dalam menghadapi cabaran semasa negara.
“Kita mungkin berbeza dari segi fahaman politik, tetapi kita tidak boleh berbeza dalam hal menjaga kebajikan rakyat dan mengangkat nilai Islam,” tegas Ustaz Azhar sebelum menutup majlis dengan doa kesyukuran.