KEMAMAN – Di sebalik pelbagai janji manis dan dakwaan membawa masuk pelaburan ratusan bilion ringgit dari luar negara, hutang negara kini mencecah RM1.3 trilion di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, angka RM1.3 trilion sangat membimbangkan menurut laporan ekonomi terkini.
“Semasa era pemerintahan Perikatan Nasional (PN), kita menyelesaikan masalah besar negara ketika darurat. Ketika itu, rakyat tidak dapat keluar bekerja, majikan pula mahu memberhentikan pekerja. Maka kita sediakan peruntukan besar untuk pastikan pekerjaan rakyat dapat dikekalkan.
“Memang belanjawan ketika itu tinggi, tetapi ia berasaskan keperluan rakyat dan pemulihan negara. Ekonomi negara berjaya dibuka semula dan ketika Datuk Seri Anwar mengambil alih, beliau mewarisi ekonomi yang sedang berada pada landasan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Himpunan Teguh Memimpin Terengganu, di Padang Astaka, Chukai, malam tadi.
Namun katanya, dalam tempoh pentadbiran Anwar Ibrahim, kerajaan membelanjakan lebih besar daripada zaman pandemik COVID-19, tetapi hasilnya tidak seimbang dengan tekanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.
“Diumumkan kononnya berjaya membawa pelaburan ratusan bilion ringgit, tapi rakyat semakin tertekan dengan pelbagai polisi baharu yang meningkatkan beban hidup. Harga barang keperluan naik, subsidi ditarik, dan pelbagai insentif rakyat dikurangkan.
“Rakyat memilih kerajaan untuk menjamin kebajikan dan kesejahteraan, namun hari ini yang berlaku adalah sebaliknya. Janji tidak ditepati, rakyat pula terus menanggung masalah demi masalah.
“Akta gaji minimum kononnya mahu membantu, tetapi nilai gaji tersebut tidak mampu menampung peningkatan kos sara hidup yang kian mendadak.
“Inilah yang berlaku hari ini, rakyat bingung, bagaimana kononnya pelaburan masuk, ekonomi baik, tetapi kerajaan gagal mempertahankan skim kebajikan dan subsidi rakyat,” tegas beliau.