KUALA TERENGGANU – PAS Hulu Terengganu kini dalam keadaan bersedia untuk menghadiri Program Himpunan Teguh Memimpin Terengganu dengan menjangkakan lebih dari 200 akan hadir memeriahkannya.
Setiausaha Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Telemong, Mohd Haizat Alapisa Kama berkata, dijangka 100 anak muda akan ke program tersebut dengan berkonvoi motorsikal yang lain ya akan pergi dengan Van disediakan DUN dan ada yang ke sana dengan kenderaan sendiri.
“Semuanya seperti sudah tidak sabar-sabar lagi, menjadi kelaziman apabila ada program seumpama ini sudah tentu ahli PAS di semua peringkat akan hadir.
“Lebih-lebih lagi pada kali ini kita mahu nyatakan satu keazaman untuk mengekalkan pemerintahan PAS di negeri Terengganu yang sememangnya terbukti boleh mentadbir Terengganu menjadi lebih baik daripada sebelum ini,”ujarnya ketika ditemui pihak hari ini.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Ameerah DUN Telemong, Farah Hannan pula berkata program itu sudah tentu akan turut dihadiri wanita muda yang sepertinya dari awal lagi sebaik sahaja mengetahui program ini sudah tidak sabar lagi.
“Saya sifatkan ini platform terbaik, dapat mengeratkan silaturrahim sesama kita dan juga menghidupkan gelombang bahawa kita mahu memastikan 32 DUN di Terengganu ini akan terus menjadi milik PAS,”katanya.
Sementara itu, Pemuda PAS ,Mohd Faizal Mustafa pula berpandangan bahawa TMT ini seperti membawa signal Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir.
“Jadi sebagai ahli PAS ini menjadi medan untuk kita memperbaharui semangat, menghadam segala arahan dan juga maklumat terkini untuk kita terus bergerak dan bekerja bagi mempertahankan kemenangan PAS di Terengganu,”katanya.