Home Berita PAS Terengganu

HUKUMAN SEBAT (TAKZIR) PESALAH KHALWAT DILAKSANAKAN PADA 27 DISEMBER

23
SHARE

Rentetan penggantungan hukuman sebatan luar penjara terhadap pesalah khalwat pada 3 Disember lalu, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu telah bersidang pada 11 Disember 2024.

2. Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu memutuskan bahawa Permohonan Semakan yang dibuat adalah teratur dan selaras dengan Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.

3. Hasil persidangan itu, Mahkamah turut memutuskan bahawa hukuman enam kali sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya denda gagal dibayar, sebagaimana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November 2024, adalah DIKEKALKAN.

4. Hukuman sebatan ke atas pesalah khalwat berulang juga KEKAL dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu sebagaimana keputusan terdahulu.

5. Hukuman sebatan tersebut akan dilaksanakan pada 27 Disember 2024 selepas solat Jumaat.

6. Keputusan ini dibuat sebulat suara oleh Panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu.

7. Maklumat lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum hukuman dilaksanakan kelak.

8. Di kesempatan ini, saya ingin menegaskan bahawa hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir ini adalah sebagai pengajaran agar individu lain tidak melakukan dan mengulangi kesalahan yang sama.

9. Pelaksanaan hukuman sebatan Takzir ini juga bertujuan untuk menunjukkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah.

10. Akhirnya, Kerajaan Negeri ingin mengajak orang ramai untuk mendoakan agar proses pelaksanaan hukuman jenayah syariah (takzir) ini berjalan dengan lancar.

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI,
PENGERUSI JAWATANKUASA PENERANGAN, DAKWAH DAN PELAKSANAAN SYARIAH NEGERI TERENGGANU

16 DISEMBER 2024