KUALA TERENGGANU – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada kembali di Terengganu.
MetMalaysia memaklumkan, amaran tersebut dijangka melanda seluruh kawasan di negeri ini.
Katanya, daerah Dungun dan Kemaman berkuatkuasa bermula 21 hingga 25 Januari iaitu selama lima hari.
“Manakala daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Besut dan Setiu pula bermula pada 21 hingga 22 Januari dan dijangka berlangsung selama dua hari,” jelasnya.
Mengulas lanjut, amaran hujan berterusan tahap waspada ini dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan dan ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh berkenaan di sesuatu kawasan.
Sehubungan itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang rasmi, aplikasi mobil myCuaca serta menerusi laman media sosial rasmi MetMalaysia.