KUALA TERENGGANU – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan (bahaya) yang dijangka berlanjutan sehingga esok melibatkan beberapa daerah di Terengganu dan Kelantan.
Menurut kenyataan MetMalaysia, daerah yang terlibat di Terengganu iaitu Besut diletakkan dalam kategori amaran bahaya sementara di Kelantan ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.
Selain itu, Amaran Hujan Berterusan (buruk) turut dikeluarkan sehingga 26 November bagi Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman
Amaran tersebut turut melibatkan beberapa daerah di Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai) dan Terengganu.
Ia juga termasuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, serta beberapa kawasan di Perak melibatkan Kerian, Larut, Matang dan Selama.
Bagi tahap waspada, hujan berterusan dijangka berlaku di beberapa daerah di Perak (Hulu Perak, Manjung), Kelantan (Gua Musang) serta Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Jerantut dan Kuantan) dalam tempoh yang sama.
Sehubungan itu, orang ramai disaran mengikuti maklumat cuaca terkini melalui laman web dan aplikasi myCuaca serta media sosial rasmi MetMalaysia, manakala pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui talian hotline 1-300-22-1638.





