KUALA TERENGGANU – Pelaksanaan hukum hudud bukan suatu perkara baru yang perlu dikhuatiri oleh rakyat negeri Terengganu kerana hukum Islam itu telah lama dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, masyarakat tidak seharusnya bimbang atau keliru terhadap hukum Islam seperti hudud kerana pelaksanaannya berpaksikan sejarah panjang dan realiti kedaulatan negeri yang telah lama berlandaskan prinsip syariah.
“Apa yang kita lihat pada hari ini merupakan kesan daripada peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah umat Islam sebagaimana yang disebut oleh para ahli sejarah iaitu empat peristiwa utama yang menjadi titik jatuh bangun tamadun Islam, sehingga membawa kepada keadaan umat Islam yang kita saksikan pada hari ini.
“Kejatuhan Baitulmaqdis ke tangan tentera Salib pada tahun 1099 Masihi, Kejatuhan Baghdad ke tangan Mongol pada tahun 1258 Masihi, Kejatuhan Andalusia (Sepanyol) ke tangan Kristian pada tahun 1492 Masihi, dan Kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1918 Masihi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Syarahan Sejarah Perjanjian Bangkok di Hotel Sri Malaysia, pada semalam.
Menurutnya, walaupun Baitulmaqdis jatuh, lahirnya tokoh seperti Salahuddin al-Ayyubi membuktikan umat Islam bangkit semula.
“Begitu juga selepas kejatuhan Baghdad, muncul kerajaan-kerajaan Islam lain yang terus memperjuangkan Islam.
“Jalur sejarah ini sangat penting untuk difahami dan dihayati,” ujarnya.
Dr. Muhammad Khalil turut berkongsi strategi penjajah British yang melaksanakan dasar pecah dan perintah, termasuk membawa masuk pendatang asing dan menempatkan mereka secara berasingan, bagi melemahkan umat Melayu-Islam di Tanah Melayu.
“Strategi yang sama juga digunakan di Palestin dengan membawa masuk Yahudi dari Eropah, yang akhirnya menubuhkan negara haram Israel melalui sokongan kuasa imperialis Barat.
“Wilayah kita mungkin tidak sepanas Timur Tengah, tetapi kesannya tetap wujud. Perjuangan mempertahankan identiti dan kedaulatan perlu diteruskan,” kata beliau.
Tambahnya lagi, sejarah tidak boleh diubah, tetapi ia boleh dilupakan jika tidak dipelihara.
“Maka menjadi tanggungjawab kita bersama untuk terus mengangkat, mendidik dan menyebarluaskan fakta sejarah yang sahih agar generasi hari ini dan akan datang tidak tercabut daripada akar jati diri mereka,” katanya.
Justeru itu, generasi muda hari ini perlu celik sejarah, peka isu semasa, dan bersedia membina masa depan negara.