KUALA TERENGGANU – Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini berjaya melaksanakan pembedahan kraniotomi (awake craniotomy) dalam keadaan sedar buat kali pertama di Terengganu baru-baru ini.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, prosedur pembedahan berprofil tinggi oleh Jabatan Bedah Saraf HSNZ itu pada 29 Jun lalu melibatkan pesakit wanita berusia 33 tahun yang mengalami sawan fokal, kelemahan otot muka dan gangguan pertuturan
“Imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) mendapati terdapat ketumbuhan (tumor) di lobus frontal kiri otak pesakit, berhampiran kawasan kritikal yang mengawal pertuturan.
“Bagi mengelakkan risiko kecacatan neurologi, pendekatan pembedahan dalam keadaan sedar dipilih supaya pemantauan pertuturan dan fungsi motor dapat dilakukan secara langsung sepanjang prosedur,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Dr Kasemani berkata, sesi persediaan rapi dan latihan praoperasi turut diadakan bersama pesakit bagi memastikan prosedur berjalan lancar tanpa tekanan emosi atau gangguan komunikasi semasa pembedahan.
“Pesakit diberi bius setempat dan ubat penenang sebelum dibawa ke fasa sedar untuk membolehkan pasukan neurologi dan psikiatri menilai fungsi pertuturan serta pergerakan secara langsung.
“Ketumbuhan kemudiannya dikeluarkan dengan teliti oleh pakar bedah saraf menggunakan mikroskop dan teknologi pembedahan berpandukan imej (IGS),” katanya.
Tambah beliau, prosedur pembedahan kraniotomi dalam keadaan sedar itu berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi.
“Pesakit terbabit dibenarkan pulang dua hari kemudian dalam keadaan bebas sawan serta tanpa defisit neurologi,”ujarnya.