Home Berita PAS Terengganu

Hotel Primula santuni 24 pesakit kanser di HSNZ

93
SHARE

KUALA TERENGGANU – Primula Beach Hotel berpeluang meraikan 24 orang pesakit kanser di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sempena Hari Kesedaran Kanser Sedunia 2022 sebagai tanda sokongan moral kepada mereka.

Pengurus Besarnya, Suabah Harun berkata sebagai anggota masyarakat yang prihatin, pihaknya terpanggil untuk memberi sokongan moral kepada pesakit kanser agar dapat meringankan beban yang dihadapi.

Katanya, ini termasuk menyantuni pesakit kanser termasuk kakitangan hospital yang setia menjaga mereka dengan kata-kata perangsang untuk mengembalikan semangat dan kekuatan bagi meneruskan kehidupan.

“Sebanyak 100 hidangan pemanis mulut yang disediakan oleh chef pastry Primula Beach Hotel diagihkan kepada 24 orang pesakit kanser dan kakitangan hospital yang bertugas di wad kanser HSNZ.

“Sumbangan ini adalah tanda sokongan dan penghormatan Primula Beach Hotel kepada mereka yang sedang bertarung mahupun yang sudah sembuh untuk terus melanjutkan kehidupan mereka bersama yang tersayang,” ujarnya kepada pemberita.

Beliau juga berharap agar program seperti ini akan diteruskan bagi menyuarakan sokongan dan menerapkan nilai tidak putus asa dan terus tabah menghadapi dugaan dalam kehidupan.

Terdahulu, Hari Kanser Sedunia disambut di seluruh dunia pada 4 Februari dengan tema tahun ini iaitu ‘Close the Care Gap’ atau Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser.