Home Berita PAS Terengganu

Hospital Mesra Ibadah jadi identiti KMI Healthcare

8
SHARE

KUALA TERENGGANU – Konsep Hospital Mesra Ibadah yang diperkenalkan Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) di bawah TDM Berhad kini menjadi pembeza utama dalam landskap penjagaan kesihatan swasta di negara ini, mendekatkan rawatan perubatan dengan nilai spiritual dan ketenangan jiwa.

Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja menegaskan bahawa nilai ini bukan sekadar pelengkap, tetapi menjadi tunjang kepada pendekatan holistik KMI dalam menjaga kesihatan fizikal dan rohani pesakit.

“Inisiatif Hospital Mesra Ibadah ini memberi nilai tambah yang besar dan menjadi identiti tersendiri buat KMI Healthcare di pasaran,” kata beliau kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun

Beliau menjelaskan, setiap hospital KMI menampilkan fasiliti dan pegawai syariah khusus bagi membimbing pesakit dalam soal ibadat, selain menyediakan persekitaran rawatan yang menghormati keperluan spiritual pesakit.

“Kami pastikan setiap pesakit yang datang ke hospital KMI, terutamanya yang Muslim, diberi perhatian dari sudut ibadah,  ada yang bertanya waktu solat, cara berwuduk, rukhsah ketika sakit, dan semuanya dijawab oleh pegawai syariah yang terlatih,” ujarnya.

Tambah beliau, antara elemen eksklusif yang ditawarkan ialah bilik rawatan seratus peratus berkonsep ‘single bedded’, sesuatu yang jarang ditawarkan hospital swasta lain dengan harga kompetitif.

“Hospital swasta biasanya ada empat katil sebilik atau berkongsi, tetapi di hospital KMI, semuanya bilik seorang. Ini beri privasi penuh, dan sebenarnya inilah yang ramai pesakit cari,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan bahawa pesakit dari luar kawasan, termasuk dari Dungun, Kemaman dan Kelantan memilih hospital KMI kerana konsep ini memberi rasa lebih dihargai, tenang dan berperikemanusiaan.