Home Berita PAS Pusat

Hizbul Istiqlal: Pembangkit Gerakan Islam Di Maghribi

1094
SHARE


ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS 2020

Entri 11

Oleh Mohd Fadli Ghani
https://m.facebook.com/mohdfadlighani

HIZBUL ISTIQLAL: PEMBANGKIT GERAKAN ISLAM DI MAGHRIBI


MAGHRIBI atau Morocco adalah wilayah Afrika yang paling barat dan telah menerima Islam sejak tahun 62H (681) di bawah Panglima Uqbah bin Nafi’ pada zaman Daulah Umayyah. Pada zaman Daulah Abbasiyah, telah berdiri Kerajaan Idrisiah di sini pada tahun 789, sebelum bangkitnya Daulah Murabitun pada 1061 dan Daulah Muwahidun pada 1149. Setelah berpecah menjadi kerajaan-kerajaan yang kecil pada abad ke-15, pada 1517 berdiri pula Kerajaan as-Saadi, sebelum akhirnya dikuasai oleh Kerajaan Alawiyah sejak 1638. Walau bagaimanapun, pada 1912, Maghribi telah jatuh ke tangan penjajah Perancis.

Perjuangan umat Islam ke atas penjajahan Perancis ini dikatakan dimulai oleh Abdul Qadir al-Jazairi (1808-1883) di Algeria pada pertengahan abad ke-19, sebelum seorang ulamak, Muhammad Abdul Karim al-Khatibi (1882-1963) melancarkan gerakan kemerdekaan ke atas Sepanyol dan Perancis dalam Perang Rif di Maghribi pada 1921-1926. Dan ketika pergolakan ini jugalah lahir seorang lagi tokoh ulamak pejuang, Sheikh Allal Abdul Wahab al-Fassi (1910-1974) yang mengasaskan gerakan Islam yang pertama di Maghribi, iaitu Hizbul Wathan li al-Istiqlal (Parti Kebangsaan untuk Kemerdekaan) pada 1937. Parti ini bergerak untuk menuntut kemerdekaan secara demokrat setelah gerakan militer oleh Muhammad Abdul Karim al-Khatibi gagal menghalau Sepanyol dan Perancis dari Maghribi.

Parti Islam yang asalnya ditubuhkan dalam bulan April 1937 ini telah dipimpin oleh Allal al-Fasi beberapa ketika sebelum diambil alih oleh Ahmad Balafrej pada 1943M. Sejak 10 Disember 1943 itu, parti ini mula dikenali sebagai Hizbul Istiqlal atau Parti Kemerdekaan. Mereka berjuang untuk menuntut kemedekaan daripada Perancis dan menyokong Raja Hassan II. Tetapi pada 1955M, Allal al-Fassi telah meninggalkan parti ini untuk menggerakkan pasukan tentera pembebasan yang disokong oleh orang Barber, el-Jaish Tahreer (Tentera Pembebasan) yang lebih Islamik, berbanding Hizbul Istiqlal yang lebih banyak dikuasai oleh golongan kebangsaan sekular yang belajar di Eropah dan golongan sosialis.

Selepas Maghribi mencapai kemerdekaan pada 1956, Allal al-Fassi kembali bergerak bersama Hizbul Istiqlal sebagai timbalan ketuanya. Parti ni berjaya membentuk kerajaan pada 1958 dan ketuanya, Ahmad Balafrej dilantik sebagai Perdana Menteri ketika itu. Tetapi akibat pegolakan dalaman dan persaingan pengaruh ideologi-ideologi, Ahmad Balafrej tidak lagi menjadi Perdana Menteri selepas lima bulan, bahkan parti ini turut berpecah pada 1959 apabila golongan sosislis menarik diri atas alasan Hizbul Istiqlal tidak radikal, lalu menubuhkan National Union of Popular Force (NUPF). Sejak itu, Hizbul Istiqlal menjadi pembangkang bersama NUPF dan Socialist Union of Popular Force (USPF) sepanjang 1960-an, tetapi beberapa kali menyertai kerajaan pada dekad 1960-an dan 1970-an. Allal al-Fassi sendiri pernah dilantik menjadi Menteri Agama pada 1963.

Satu aspek yang penting dalam sejarah parti ini adalah penguasaan golongan nasionalis sekular ke atasnya, sedangkan para ulamak tidak aktif dalam politik kepartian. Selepas perpecahan dengan golongan sosialis pada 1959, golongan agama mulai marginal dan kelompok nasionalis lebih berpengaruh. Sebagai pemimpin utama parti Islam ini, Allal al-Fassi menyedari masa depan parti ini sebagai parti Islam akan hancur jika para ulamak tidak menguasainya. Pada 1973, beliau telah melahirkan kebimbangannya kepada para ulamak bahawa Hizbul Istiqlal tidak lagi bersifat Islam dan menyeru para ulamak memulihkannya.

Setelah kematian mengejut Allal al-Fassi di Bucharest pada 1974, parti ini mula dipimpin oleh kelompok sekular. Muhammad Boucetta yang menjadi ketua parti ini sehingga 1998 telah mengubah dasarnya menjadi parti nasionalis sekular, dan pernah membentuk pakatan politik dengsn kelompok sosialis seperti Union Generale des Travaileurs Marocains (UGTM), USPF, Parti du Progres et du Socialisme (PPS), UNFP dan Organisation pour l’Action Democratique et Populaire (OADP) di atas nama Demokratic Block (al-Kutla) pada 1992 dan berkuasa di Maghribi pada 1998 dan 2003. Pada 2007, mereka menguasai semula Maghribi di mana Abbas al-Fassi, pemimpinnya menjadi Perdana Menteri.

Pada 2011, parti ini telah kalah kepada parti moderat Islam, Justice and Development Party (JDP) dan kekal sebagai pembangkang hingga sekarang. Pada masa ini, Hizbul Istiqlal sebagai sebuah parti konservatif nasionalis sekular dipimpin oleh Nizar Bakara sebagai Setiausaha Agung yang menggantikan Hamid Chabat sejak 2017. Perubahan dasar Hizbul Istiqlal dari Islam kepada nasionalis sekular sejak 1974 telah menyebabkan kelompok Islam beralih kepada JDP, parti yang ditubuhkan pada 1967 atas nama Popular Democratic and Popular Movement (MPDC) untuk menghadapi politik darurat, tetapi diberikan wajah yang moderat mulai 1998. Selain itu, pada 1996, muncul juga parti Hizbul Tauhid wa al-Islah sebagai sebuah parti Islam di Maghribi.

MOHD FADLI GHANI
Ketua Lajnah Sejarah dan Arkib, Sidang as-Sabiqun PAS Pusat
14 Jamadil Awal 1441
11 Januari 2020