Home Berita PAS Terengganu

Hishamuddin dipilih EXCO FAM dengan undi kedua tertinggi

362
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim telah dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 pada Kongres Tahunan FAM Kali Ke-61.

Beliau mendapat undi kedua tertinggi bagi jawatan EXCO FAM dengan mendapat 17 undi, di belakang pemain bola sepak lagenda Datuk Zainal Abidin Hassan yang meraih 18 undi.

Beliau merakamkan penghargaan sokongan semua pihak dan menyedari ia tanggungjawab besar.

“Ia bukanlah satu kegembiraan atau kebanggaan, malah ia merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas.

“Situasi sempena kongres ini antara yang paling sukar untuk membuat keputusan sama ada bersedia untuk bertanding atau tidak.

“Harapan persatuan-persatuan negeri dan gabungan lain yang mencadangkan nama saya sebagai salah seorang calon perlu diambil kira,” ujarnya melalui suatu kenyaatan di facebooknya, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata pihak terbabit sebelum ini telah berulang kali berusaha bagi memastikan namanya tersenarai dalam pemilihan ini.

“Paling utama adalah harapan pihak FA Terengganu sendiri yang mengharapkan agar ada wakil dari Terengganu yang berada dalam kepimpinan FAM.

“Doakan saya dan semua pimpinan FAM yang terpilih dapat melaksanakan tugasan dengan baik dan penuh persaudaraan bersama semua ahli gabungan yang bernaung untuk pembangunan bola sepak negara,” jelas beliau.