Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Hina Nabi : Senjata Memecah-belah Umat

565 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA
24 Julai 2019, 21 Zulkaedah 1440

Hina Nabi : Senjata Memecah-belah Umat

Karikatur, kata-kata kesat, kejian dan hinaan terhadap agama Islam terutama ke atas Nabi Muhammad SAW semakin berleluasa di media sosial. Terbaru dalam satu hantaran melalui Facebook Group ‘Kiub Batu Itu Berhala’ oleh Wendy Loong telah memuat naik satu karikatur dengan perkataan menghina Nabi SAW.

Hal ini mendapat perhatian penggerak-penggerak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang telah bertindak membuat laporan polis ke atas individu terbabit.

Situasi ini telah berulang-ulang saban hari dan tahun, dan individu yang terlibat adalah mereka yang bukan beragama Islam dan berbangsa Cina. Keadaan ini menyebabkan ketegangan antara masyarakat majmuk di Malaysia berlaku hingga mencetuskan perpecahan baik sesama Muslim mahupun yang berlainan agama dan bangsa.

Ahli agama ada yang hanya membiarkan sahaja situasi ini berlaku bagaikan tiada sensitiviti terhadap kesucian agama Islam, kerana mengambil pendekatan “rahmatan lil ‘alamin”, satu slogan yang seolah-olah mengizinkan sesiapa sahaja melakukan sesuka hati terhadap agama kita.

Di suatu sudut lain, mereka yang marah dan mencela perbuatan ini dianggap sebagai golongan ekstrem dan keras hingga menjauhkan orang bukan Islam untuk mendekati agama Islam. Akhirnya salah faham berlaku dan perpecahan berlaku.

Seharusnya kita kembali melihat sirah Rasulullah SAW sewaktu menyebarkan ajaran Islam dahulu telah menggunakan slogan “Aslim Taslam” yang membawa maksud, “dengan Islam kamu akan sejahtera”. Hal ini membuktikan bahawa Islam datang dalam keadaan aman damai, tanpa sebarang sengketa dan kebencian.

Orang bukan Islam tidak perlu berasa terancam  dengan penganut dan kepercayaan Muslim hingga membuat provokasi yang menghina agama kerana ia sesekali tidak akan mengganggu-gugat pegangan dan kedudukan mereka dalam negara berbilang kaum dan bangsa di Malaysia. Amalkan sikap toleransi untuk membentuk sebuah negara yang sejahtera.

Kerajaan haruslah memainkan peranan penting dalam aggenda penyatuan umat ini, bukan bertindak sebagai ‘penambah perasa’ menghangatkan lagi perpecahan dan konflik yang berlaku. Banyak tindakan proaktif yang boleh diambil dengan kerjasama NGO dan NGI bagi memulihkan situasi ini.

Islam Memimpin Perpaduan
Islam Memimpin, Wanita Sejahtera

Puan Salamiah Mohd Nor
Naib Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia