PAS Wilayah Persekutuan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Wilayah Persekutuan dan anak muda yang turun secara berani dan aman ke Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai 2025. Kehadiran lebih 500,000 orang peserta, melepasi jangkaan awal sebanyak 300,000, membuktikan kebangkitan rakyat terhadap kepincangan pemerintahan Anwar Ibrahim dan Kerajaan PH-BN.
1. Suara rakyat tidak lagi boleh dibisukan.
Gelombang luar biasa ini adalah bukti jelas bahawa rakyat telah muak dengan kegagalan demi kegagalan yang terus menghimpit kehidupan mereka – daripada kenaikan kos sara hidup, kejatuhan moral kepimpinan, hingga kepada pengkhianatan terhadap mandat rakyat.
2. Kebangkitan rakyat bukan lagi sekadar di alam maya.
Kehadiran ratusan ribu dari pelbagai latar belakang — termasuk golongan muda, mahasiswa, profesional, peniaga kecil, petani dan penjawat awam — menunjukkan bahawa rakyat kini bangkit secara fizikal dan terbuka menyatakan penolakan mereka terhadap Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
3. Kredibiliti Perdana Menteri terus merudum.
Naratif “Kerajaan Madani” yang didendangkan Anwar semakin hambar, bahkan tidak lagi dipercayai rakyat. Himpunan ini adalah referendum rakyat secara langsung yang menuntut perubahan segera dan kepimpinan yang benar-benar membela nasib rakyat, bukan sekadar retorik.
4. Perpaduan umat dan gerakan rakyat kian tersusun.
Himpunan ini menjadi bukti kematangan demokrasi dan semangat disiplin peserta. Ia menyatukan gerakan Islam, NGO, mahasiswa, serta individu-individu yang cintakan keadilan. Ini adalah tanda aras baharu dalam sejarah perjuangan rakyat Malaysia.
5. Kepada para pengampu kerajaan lihatlah dengan mata hati.
Tohmahan kononnya himpunan ini akan gagal akhirnya tertangkis. Kebenaran telah menjelma di jalanan. Suara rakyat bukan lagi boleh ditertawakan atau diugut. Ia kini satu gelombang besar yang tidak boleh dihentikan.
PAS Wilayah Persekutuan menyeru seluruh rakyat untuk terus konsisten menuntut perubahan dan mempertahankan prinsip keadilan, amanah dan integriti. Kebangkitan ini belum tamat ia baru bermula.
“RAKYAT BANGKIT, JUNJUNG DEMOKRASI, LAWAN KEZALIMAN!”
Ustaz Haji Azhar Yahya
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan
27 Julai 2025