KUALA TERENGGANU – Pra-Himpunan RX-Z di Kemaman mencatatkan kehadiran luar biasa apabila lebih 400 buah motosikal RX-Z memenuhi kawasan Waterfront Geliga.
Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu, Dato Hanafiah Mat berkata, sambutan menggalakkan daripada komuniti RX-Z membuktikan minat dan semangat persaudaraan yang tinggi dalam kalangan peminat motosikal lagenda tersebut.
“Alhamdulillah, sambutan yang diberikan sangat luar biasa. Terima kasih kepada semua rider yang sudi hadir memeriahkan majlis.
Insya-Allah, kita akan teruskan penganjuran program seperti ini dengan pengisian yang lebih menarik dan bermanfaat,” katanya dalam laman sosialnya pada semalam.
Menurutnya, program yang dikenali sebagai Temu Mesra Bersama Komuniti RX-Z Kemaman itu dianjurkan bagi merapatkan hubungan silaturahim sesama rider.
Selain itu, ia menjadi pemanas suasana menjelang acara kemuncak RX-Z Members 7.0 yang dijadual berlangsung pada 22 dan 23 Ogos ini.
Justeru itu, beliau berharap acara pra-himpunan itu menjadi pembakar semangat menjelang perhimpunan besar RX-Z Members 7.0 yang dijangka menghimpunkan lebih ramai peminat dari seluruh negara.