KUALA TERENGGANU – Penglibatan ramai tenaga Muslimat dan Ameerah Terengganu menyertai Himpunan Teguh Memimpin (TMT 1.0) di Kemaman hujung minggu lalu membuktikan kekuatan Dan siap siaga jentera PAS, menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, To’ Puan Hajah Zarani Othman menyeru agar momentum Himpunan tersebut ditingkatkan kuantiti Dan kualitinya dalam siri-siri himpunan akan datang, sehingga gendang perang PRU16 dipalu.
“Bumi Kemaman dibanjiri dengan bas-bas yang membawa muslimat dari 32 DUN di seluruh Terengganu.
“Ini isyarat jelas bahawa jentera wanita PAS bersedia untuk membawa negeri Terengganu terus maju, berkat dan sejahtera menurut acuan Islam,” jelasnya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang terlibat termasuk Unit Persiapan, Perbekalan, Kebersihan, Penerangan Dan Media, Keselamatan, Jabatan Amal, Briged, Ameerah serta Unit Urusan Muslimat.
“Begitu juga kepada semua peserta yang menjayakan program sepanjang tempoh himpunan.
“Terima kasih atas komitmen dan kerjasama semua pihak,” ujarnya.
Justeru itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para tetamu jemputan dan penyumbang yang menjayakan program bersejarah tersebut.