Home Berita PAS Pulau Pinang

Himpunan Anak Muda 2.0 Pulau Pinang : Aktiviti Untuk Masyarakat

1937
SHARE


Oleh : Amy

Seberang Jaya, Ahad, 17 Disember 2017. 

Pada hari ini, bertempat di Masjid Seberang Jaya, Himpunan Anak Muda 2.0 (HIMPUN 2.0) berjaya dilaksanakan dengan penuh jayanya. Program anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang yang bermatlamatkan menghimpunkan anak-anak muda dengan aktiviti yang bermanfaat, ilmiah dan santai turut melibatkan beberapa NGO iaitu Muslim Care, Yayasan Amal Malaysia Pulau Pinang , Ilmam dan PAPISMA. Manakala Dewan Muslimat PAS dan Ameerah Permatang Pauh memainkan peranan di dalam aktiviti yang melibatkan wanita dan kanak-kanak.

.
HIMPUN 2.0 turut menyediakan aktiviti untuk seisi keluarga bagi menggalakkan masyarakat mendekati masjid dan mengeratkan ikatan kekeluargaan sepanjang program berlangsung. 

Seawal jam 9 pagi acara perasmian diadakan di pentas utama program. Tn. Hj. Omar Hassan selaku Pengerusi Masjid Kariah Seberang Jaya  menyempurnakan acara perasmian program, manakala Ustaz Ir Wan Rafaie selaku Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang menyempurnakan acara pelepasan konvoi  Alternative Four Wheel Drive Club (A4C)  yang turut membawa misi menyampaikan sumbangan rumah ke rumah untuk penerima terpilih sekitar DUN Permatang Pasir dan Penanti. 

Pada Jam 9.30 pagi lima acara dimulakan serentak iaitu Sumbangan “Back to School” untuk 70 orang kanak-kanak, Sunat Perdana yang melibatkan 30 orang kanak-kanak sekitar kariah Seberang Jaya, Kuliah Dhuha yang disampaikan oleh Ustazah Azizah Nek, Pertandingan Mewarna dan Word Search yang melibatkan hampir 100 orang kanak-kanak 4 – 12 tahun dan Pertandingan Memanah “Shoot  & Win” yang melibatkan 40 orang peserta kategori dewasa dan kanak-kanak. 

Pada jam 10 pagi pula,  dimulakan pertandingan Burdah yang melibatkan lapan kumpulan Burdah wanita. Kumpulan Nur Islam dari Ara Kuda berjaya memenangi tempat pertama. Pertandingan Burdah ini buat julung kalinya diadakan untuk kumpulan wanita pada tahun ini di dewan yang tertutup bagi memelihara aurat suara wanita mengalunkan selawat nabi. 

Pada jam 12 tengahari, menjadi kemuncak kepada acara yang dipertandingkan. Penyampaian hadiah tempat pertama hingga ketiga pertandingan mewarna, “word search” dan memanah  telah disempurnakan oleh Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamuddin selaku Ketua Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang dan Tn Hj Omar Hassan .

Manakala, peserta-peserta yang lain turut menerima hadiah saguhati masing-masing. 

Ustaz Afnan Hamimi dalam ucapannya menyatakan bahawa program HIMPUN 2.0 ini menyediakan aktiviti yang bermanfaat untuk seisi keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan serta memupuk nilai-nilai murni dalam diri anak-anak. Pilihlah sistem Islam dalam membina keluarga, masyarakat seterusnya negara yang sejahtera.

Beberapa gerai jualan turut dibuka menambahkan lagi kemeriahan tapak program.

Pada sebelah petang pula,  sebuah majlis Hi Tea telah diadakan pada jam 3.00 petang. Ustazah Mastura Mohd yang merupakan ikon muslimat muda telah dijemput bagi membincangkan tajuk “Cinta Luar Biasa” . Setelah itu penyerahan sumbangan barangan asas keperluan kepada 30 orang penerima sekitar DUN Seberang Jaya telah diadakan. 

Kemuncak program HIMPUN 2.0 adalah Forum Anak Muda : Halatuju Anak Muda. 

Di antara panel yang terlibat ialah Ustaz Hanafiah Abd Malek, Saudara Bob Lokman, Ustaz Fawwaz Md Jan, Ustaz Afnan Hamimi dan Ustazah Mastura Mohd. Forum ini mendapat sambutan yang amat baik dengan kehadiran “full house”. 

Program HIMPUN 2.0 ini dilihat dapat menarik masyarakat sekitar yang mencari aktiviti bermanfaat di hujung minggu di samping menyediakan aktiviti kebajikan seperti pemberian sumbangan kepada yang memerlukan.