Home Berita PAS Terengganu

Himpunan 4×4 Terengganu zahirkan sokongan pemilik kepada program kebajikan

190
SHARE

KUALA NERUS – Kehadiran lebih 200 peserta dalam Himpunan 4×4 Negeri Terengganu 2023 semalam menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi pemilik pacuan empat roda itu terhadap program-program kebajikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, kehadiran mereka juga adalah satu mesej dan harapan agar parti PAS terus mantap mempertahankan kepentingan Islam, Melayu dan rakyat keseluruhannya.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri dan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan jawatankuasa dan ahli kelab 4×4 di daerah masing-masing yang sentiasa komited membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

“Pemilik pacuan empat roda ini bukan hanya menggunakan kenderaan mereka untuk tujuan peribadi sahaja tetapi berkhidmat untuk masyarakat, buktinya ketika berlaku bencana banjir kumpulan inilah antara yang menonjol menghulurkan bantuan bukan hanya di Terengganu tetapi di luar negeri.

“Inilah sebenarnya hasrat kita agar saling memberi manfaat kepada orang lain melalui sumbangan yang boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk,” ujarnya ketika berucap merasmikan Himpunan 4×4 Negeri Terengganu 2023 di Pantai Teluk Ketapang, disini.

Sementara itu, pengarah program tersebut Abdul Rahim Embong berkata, ianya bukan sahaja bertujuan mengumpulkan dan menyatukan pemilik kenderaan 4×4, malah mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Program dibawah Lajnah Tarbiyyah PAS Negeri Terengganu kali ini melibatkan lebih 100 kenderaan 4×4 dan pesertanya terdiri daripada pemilik dan keluarga masing-masing.

“Antara pengisiannya termasuk gotong-royong membersihkan kawasan pantai, pertandingan memanah dan juga perarakan kenderaan 4×4 bermula dari Pasarnita ke Pantai Teluk Ketapang,” ujarnya.

Katanya, sebanyak 10 buah kelab 4×4 di negeri ini yang bernaung dibawah Terengganu Adventure Group (TAG) mengambil bahagian antaranya Ranggok, Padat, Evergreen dan lain-lain.