KUALA TERENGGANU – Program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 yang berlangsung di Setiu baru-baru ini hanyalah mahu memperlihatkan semangat perjuangan Rasulullah S.A.W.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan kefahaman dalam diri generasi sekarang.
Katanya, program tersebut telah lama diadakan sejak daripada tahun 90-an lagi.
“Namun, baru-baru ini beberapa pihak sengaja menimbulkan isu dengan tomohan yang tidak sepatutnya.
“Pelik kenapa isu ini menjadi kontroversi sedangkan di luar sana lebih banyak lagi perhimpunan dan perarakan ekstrem namun tiada isu dan kontroversi ditimbulkan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Bicara Isu Semasa bertempat di Studio TV Darul Iman di sini baru-baru ini.
Tambah Dr Khalil, perarakan seumpama itu telah banyak diadakan di dalam dan luar negara seperti Viking, perarakan Thaipusam dan lain-lain.
“Ianya bertujuan bagi menaikkan semangat masyarakat mereka dari sudut agama, budaya dan sebagainya.
“Sepatutnya kita kena mempertahankan pendekatan Islam yang sudah menjadi darah daging dalam masyarakat melayu dan Islam dalam negara kita,” katanya.
Di samping, kita tidak boleh bertolak ansur dengan agenda yang mahu menjatuhkan cara hidup Islam dalam diri dan masyarakat kita.
Mengulas lanjut mengenai Himpit, pihak di luar sana mahu menggambarkan bahawa Parti Islam Semalaysia (PAS) merupakan parti yang terlampau dan ekstrem.
Sedangkan, PAS merupakan parti yang paling mengikut peraturan dan demokrasi berbanding parti-parti yang lain.
“Ianya terbukti melalui data-data serta sejarah mengenai PAS itu sendiri.
“Itulah perkara yang dididik oleh PAS bermula daripada menyertai pilihanraya dalam negara kita lagi,” ujarnya.