Home Rencana PAS Wilayah

HILANGNYA KETELUSAN DI INSTITUSI PENGAJIAN

19
SHARE

1- Pendedahan akhbar tempatan mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN 2/2025) tentang kehilangan ketelusan di dalam pemilihan tender begitu menggusarkan hati rakyat Malaysia.

2- Laporan tersebut menyatakan mengenai perolehan tender oleh sebuah syarikat berdaftar 0267299-T yang bekerja sebagai katering bagi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) tidak mempunyai sijil halal.

3- HCTM merupakan sebuah hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai HUKM) memiliki Jawatankuasa Perolehan sendiri yang diketuai secara langsung oleh NC UKM.

4- Tender katering ini bermula pada Februari 2024 sehingga Februari 2027 iaitu selama 3 tahun. Hasil carian kami, NC UKM yang bertugas pada waktu itu adalah Prof. Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan bin Haji Toriman yang memulakan tugasnya pada Jan 2021 sehingga Februari 2025.

5- Adapun syarikat yang mendapatkan tender tersebut, menerusi carian SSM dan CTOS adalah RHR Hospitality Sdn. Bhd. yang bernilai RM25.64 juta. Syarikat ini telah gagal pada peringkat penilaian teknikal kerana tidak memiliki pengalaman, tiada sijil halal dan tidak memenuhi piawaian keselamatan HACCP.

6- Bagaimana sebuah syarikat yang gagal penilaian teknikal mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Perolehan? Suatu persoalan yang mesti dijawab dengan jujur dan disiasat dengan teliti.

7- Laporan dari akhbar Sinar Harian pada 21 Julai mendedahkan bahawa Jawatankuasa Perolehan pada waktu itu juga telah meluluskan 2 lagi tender bernilai sehingga RM40 juta yang tidak melepasi penilaian teknikal, kewangan dan Pra-Tender.

8- Seruan kami, perkara ini bukanlah kecil. Sebuah IPTA yang dibina dengan falsafah membentuk manusia tetapi memiliki masalah ketelusan seperti ini adalah membimbangkan.

9- Siasat dan dakwa semua pihak yang terlibat. Laksanakan seruan PMX yang ingin mewujudkan sifar rasuah dalam negara Malaysia.

ABDUL RAZAK BIN RAMLI
KETUA PENERANGAN DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN