Home Artikel PAS Terengganu

Hikmah Tersirat Dari Himpunan Setengah Juta Ummat

300 views
SHARE

HIKMAH TERSIRAT DARI HIMPUNAN SETENGAH JUTA UMAT

Alhamdulillah, segala pujian kesyukuran dipanjatkan kepada Allah yang mengizinkan Himpunan Besar lebih setengah juta umat Islam di Dataran Merdeka semalam. Sejarah tercipta. Satu rapat umum terbesar dalam sejarah Malaysia melangkaui himpunan BERSIH yang dianggap dulunya adalah terbesar oleh pembangkang.

Sejuta tahniah dikalungkan kepada peserta himpunan yang telah mengorbankan masa, tenaga dan harta demi memperjuangkan Islam dan nasib umat generasi terkemudian.

Himpunan ini adalah bukti bahawa umat Islam boleh bersatu meskipun berbeza parti apabila ia melibatkan kepentingan Islam. Himpunan ini hanya mukaddimah. Kesatuan ini baru bertunas dan perlu disuburkan. Para pemimpin umat Islam perlu berani dan komited menggagaskan kesatuan umat Islam ini. Rakyat mendambakan kepimpinan yang baik. Pemimpin jangan teragak-agak memimpin pengikut mereka ke arah kesatuan Islam. Usah terusik dengan bisikan syaitan yang membisik-bisikkan perpecahan kononnya kesatuan ini hanya akan mengembalikan golongan perasuah ke tampuk kuasa. Sedang mereka dengan rakus merungkai kedaulatan Islam dan Melayu serta Bumiputra dengan pelbagai rencana apabila berada di tampuk kuasa.

Keberanian segelintir manusia politik bercita-cita besar dan jahat merungkai asas-asas bernegara kerana melihat perpecahan umat Islam menerusi parti politik yang pelbagai. Kemenangan mereka adalah kerana dasar pecah perintah yang mereka rencanakan. Umat Islam terpecah pada lebih lima parti tapi mereka semakin bersatu di bawah satu gagasan.

Saya tegaskan bahawa hasrat sebahagian pimpinan Pakatan Harapan untuk merungkai asas bernegara tidak pernah padam. Perjuangan mereka ialah Malaysian Malaysia, kesamarataan antara rakyat Malaysia dengan menghapuskan keistimewaan dan kedaulatan Islam dan Melayu yang dipersetujui bersama ketika penubuhan negara. Itulah ICERD versi Malaysia. Mereka tidak mengenal erti KEADILAN tetapi memperjuangkan kesamarataan sedangkan kesamarataan dalam semua segi mengundang kezaliman dan ketidakadilan kerana ada hak yang akan direbut dan dihapuskan.

Tanpa ICERD mereka masih mampu melunaskan cita-cita mereka menerusi pindaan pelbagai akta atau undang-undang serta peraturan kecil atau perubahan dasar di kementerian-kementerian. Berwaspadalah.

Oleh itu, saya katakan bahawa perjuangan kita masih panjang. Himpunan semalam hanyalah permulaan.

Bersatulah wahai umat!

Ustaz Dato’ Dr Khairuddin Takiri
9hb Disember 2018