Home Berita PAS Terengganu

Hijrah ; Perjuangan Menegakkan Kebenaran Menentang Penindasan Dan Kezaliman

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Semangat hijrah perlu diterjemahkan dalam kehidupan semasa dengan memperjuangkan kebenaran, membina masyarakat yang adil, memperkukuh ukhuwah, serta menolak segala bentuk penindasan dan kezaliman.

Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, menyambut Awal Muharram bukan sekadar mengenang peristiwa sejarah, tetapi sebagai tanda menyambung legasi perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat RA.

“Hijrah adalah titik tolak kepada terbentuknya masyarakat Islam yang berdaulat berpaksikan wahyu, menegakkan keadilan, dan menjunjung nilai kemanusiaan sejagat.

“Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah bukanlah semata-mata untuk menyelamatkan diri, tetapi merupakan satu gagasan besar perubahan iaitu memindahkan umat daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kezaliman kepada sistem pemerintahan Islam yang adil,” tegas beliau.

Ustaz Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, berkata demikian dalam Perutusannya Sempena Awal Muharram1447 Hijrah yang disambut Hari ini.

Beliau menambah, di Madinah, Baginda membina asas tamadun yang berteraskan aqidah, syariah, ukhuwah dan kepimpinan yang amanah.

Oleh itu, kata beliau, setiap Muslim tidak boleh berundur dalam usaha menegakkan Islam, biarpun berdepan dengan tekanan dan cabaran yang mencabar kesatuan dan jati diri umat.

Katanya, Allah telah memberi jaminan kepada mereka yang berhijrah dalam al-Quran melalui Surah al-Nisa’ ayat 100.

“Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Justeru itu, mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) beliau mengucapkan Salam Maal Hijrah 1447H kepada seluruh umat Islam, khususnya rakyat Malaysia yang cintakan Islam dan kedamaian.

“Semoga tahun baharu ini menjadi medan untuk kita memperbaharui niat dan tekad, agar kekal istiqamah di atas jalan yang benar, menegakkan risalah Islam dan memperkukuh perpaduan ummah.” kata beliau lagi