KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri terus memperkasakan usaha pendidikan pemakaian hijab yang sempurna kepada kaum wanita islam negeri ini menerusi penganjuran Terengganu Hijab Day (THD).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliaman Kassim, berkata gelombang yang digerakkan Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) itu sebagai usaha mendidik rakyat serta memperkenalkan pakaian yang benar-benar menutup aurat diadakan secara berterusan sekali gus membendung kesalahan jenayah syariah.
Menurutnya, Islam tidak melarang untuk berfesyen tetapi pakaian yang dipilih dan dipakai perlulah selari dengan tuntutan syariat agama.
“Pada kali ini, kita akan membuat sedikit pembaharuan dalam program itu dengan memberi peluang kepada wanita yang tidak berhijab untuk mencuba memakai hijab bersempena dengan sambutan ‘World Hijab Day’ yang diadakan pada 1 Februari setiap tahun di seluruh dunia.
“Kempen ini adalah untuk memupuk toleransi dan pemahaman dalam agama dengan mengalu-alukan seluruh kaum wanita tidak kira siapa pun merasai pengalaman berhijab.
“Diharapkan kempen ini dapat memberi pengalaman terindah buat semua dan pemahaman kenapa wanita diwajibkan berhijab malah penggunaan hijab bukanlah tekanan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Beliau berkata, pengisian program yang diadakan lebih kepada proses mendidik masyarakat selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan syariat Islam di Terengganu melalui kempen ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ .
Tambah Maliaman, hijab merupakan pakaian untuk memelihara kehormatan dan perhiasan wanita.
“Dunia dipenuhi dengan perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.
“Program ini bukan sekadar sebuah acara tetapi satu simbol penghormatan terhadap keindahan dan keanggunan wanita berhijab yang menyuntik inspirasi kepada semua,”katanya.