SETIU – Budaya hedonisme yang mementingkan keseronokan melampau perlu dibendung terutamanya dalam golongan belia yang makin berleluasa ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata pendekatan kerajaan negeri melaksanakan karnival Indahnya Hidup Bersyariat merupakan antara langkah bagi membentuk negara dan masyarakat yang lebih bertamadun.
Katanya, kematian yang melibatkan empat individu dalam sebuah konsert di Bandar Sunway, Subang Jaya baru-baru ini perlu menjadi peringatan berguna buat semua rakyat Malaysia.
“Itu perkara malang kepada negara kita apabila tidak ada batas, kerajaan madani kita lihat sangat longgar dalam aspek hiburan ini.
“Sehingga tidak ada satu garis panduan yang boleh menjaga dan memelihara anak muda kita.
“Hiburan melampau seolah-olah menjadi satu matlamat dalam hidup sekumpulan pihak ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia penerangan Darul Iman, selepas perasmian Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM), di Masjid Kg. Putera Jaya, semalam.
Tambah Dr. Muhammad Khalil, berhibur dalam agama Islam berlandaskan konsep wasatiyyah dan ia sepatutnya menjadi garis panduan dalam kalangan masyarakat.
Mengulas lebih lanjut, hiburan tanpa batas menjurus kepada pergaulan bebas, pengambilan bahan terlarang dan haram yang memabukkan.
Jelas beliau lagi, Islam tidak mengharamkan hiburan sepenuhnya kerana ada hiburan-hiburan yang diizinkan.
“Itulah konsep wasatiyyah dan itulah apa yang kita laksanakan di negeri Terengganu, antaranya melalui pendekatan hidup bersyariat dan bukan sebagaimana yang kita lihat berlaku baru-baru ini.
“Hiburan ini adalah fitrah kepada manusia. Namun, apa yang Islam lakukan ialah Islam memandu kita supaya tidak terbabas dalam hiburan,” katanya.