KUALA TERENGGANU – Buli mesti dihentikan sebelum lebih ramai mangsa terkorban, susulan kes kematian tragis adik Zara Qairina yang dikaitkan dengan insiden zalim itu baru-baru ini.
Pengarah Ameerah Negeri Terengganu, Ustazah Sumaiyah Zakaria berkata, tiada ruang toleransi terhadap sebarang bentuk buli sama ada fizikal, mental mahupun emosi kerana kegagalan menanganinya akan mengundang lebih banyak tragedi.
“Masyarakat tidak boleh berdiam diri.
“Kita semua bertanggungjawab untuk bangkit menentang buli dan memastikan keadilan ditegakkan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media pada semalam.
Sumaiyah mendesak pihak berkuasa agar menyiasat kes-kes buli dengan telus dan adil serta memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.
Pada masa sama, kerajaan digesa memperkukuh pendidikan pencegahan buli di sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti.
“Keadilan untuk mangsa-mangsa ini bukan hanya tuntutan keluarga beliau, tetapi tuntutan kita semua sebagai masyarakat yang berpegang kepada prinsip kemanusiaan,” ujarnya.
Justeru itu beliau menyeru kepada semua pihak agar sama-sama berdoa agar Allah berikan kekuatan kepada keluarga mangsa dan beri hidayah kepada pelaku dan dijauhkan anak-anak daripada perkara yang tidak diingini.
“Kezaliman tidak boleh dibiarkan, kebenaran mesti ditegakkan.
“Kita semua bertanggungjawab. Bangkit menentang buli,” tegas beliau lagi.