KUALA TERENGGANU – Setelah lima tahun berlalu, Karnival Himpunan Belia Terengganu (HEBAT) kembali diadakan pada 24 hingga 26 Oktober ini, bertempat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim, merakamkan ucapan tahniah kepada Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) atas kejayaan merealisasikan karnival tersebut buat kali kedua ini.
“Alhamdulillah, kita telah pun menganjurkan Karnival HEBAT pada tahun 2019, selepas itu kita terhenti akibat banyak faktor terutamanya kewangan kerana kita memerlukan sumber kewangan yang banyak untuk mengadakan program sebesar ini.
“Bermula tahun lepas, dengan usaha gigih yang dilakukan UBSNT, kita dapat merealisasikan HEBAT buat kali kedua. Pada kali ini, kita memilih Kompleks Sukan Negeri Terengganu sebagai tapak program dengan jangkaan kehadiran seramai 10,000 ke 15,000 pengunjung sepanjang tiga hari ia berlangsung,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, HEBAT merupakan salah satu dari program untuk melahirkan generasi belia rabbani menerusi objektif yang disusun melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030.
“Kita tidak buat secara semberono tetapi ada objektif yang digariskan termasuklah segmen belia.
“Antara komponennya adalah mengadakan karnival yang kita cuba tarik semua belia dengan kesedaran beragama, kesedaran bersosial, kesedaran gaya hidup sihat sebagaimana dipelopori dalam ajaran agama.
“Selain karnival belia, kita tambah kesedaran kepada semua peringkat belia negeri Terengganu tentang kebersamaan kita bersama Palestin, ada satu malam yang kita khususkan untuk pendedahan dan kesedaran berkenaan keperluan bersama umat Islam di Palestin dan saya kira ini himpunan yang juga besar di Terengganu yang juga akan membariskan sukarelawan yang telah menyertai Global Sumud Flotilla (GSF).
“Itu antara agenda yang telah kita tambah untuk kali ini,” tambahnya.
HEBAT menawarkan pelbagai aktiviti dan pengisian antaranya ialah pertandingan e-sports, bengkel kemahiran kecerdasan buatan, ekspo kerjaya, sukan rakyat dan pertandingan bola tampar pantai.