Home Berita PAS Terengganu

Hasrat pengayuh beca miliki rumah sendiri tercapai

79
SHARE

MARANG  – Impian seorang pengayuh beca, Mohd Nasir Jusoh, 62 atau Pok Yah untuk memiliki rumah sendiri akhirnya direalisasikan oleh Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Cakna Darul Iman (Iman Care) dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Berkongsi detik kegembiraan menerima rumah menerusi program ‘Baiti Saadati’ di Kampung Rawai itu, Pok Yah menzahirkan perasaan syukur kerana hasratnya setelah sekian lama dipenuhi.

Dia selama ini menjalani hidup bersama isterinya Che Ku Zaiton Che Ku Jalil, 49, beserta dua orang anak, Nur Husna Mohd Nasir, 15 dan Muhamad Safiuddin Mohd Nasir, 12, dengan menyewa sebuah rumah di Kampung Gelugor Raja.

“Saya memohon untuk mendapatkan rumah ini sudah sekian lama, dengan kewangan yang dikumpulkan sendiri melalui hasil pendapatan kerja mengayuh beca selama 16 tahun, memang tidak mampu untuk mendirikan sebuah rumah. Kerana pendapatan saya tidak menentu apatah lagi bekerja di dalam waktu menghadapi pandemik COVID-19 ini.

“Semasa Wan Sukairi ketika hadir ke rumah sewa saya, saya nyatakan hasrat untuk memiliki rumah sendiri, dan beliau nyatakan jika saya ada geran tanah milik sendiri ia akan memudahkan urusan untuk memiliki kediaman ini, syukur akhirnya saya menerima rumah ini dengan begitu cepat,” ujarnya.

Pok Yah berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika majlis penyerahan rumah berkenaan yang dirasmikan oleh Wan Sukairi Wan Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi, Digital Negeri Terengganu, Ariffin Deraman.

Dalam pada itu Wan Sukairi berkata, beliau telah berjanji kepada Pok Yah untuk menyempurnakan hasrat itu selepas mengetahui kesulitan yang dihadapi oleh penarik beca berkenaan.

“Pada Februari yang lalu saya berjanji untuk merealisasikan impiannya dan Alhamdulillah melalui Iman Care melalui peruntukkan sebanyak RM55,000 dan Pejabat ADUN Wakaf Mempelam dapat membina sebuah rumah yang berkeluasan 600 meter persegi dengan dilengkapi tiga buah bilik beserta sebuah bilik air, bilik mandi satu dapur dan satu ruang tamu.

“Insya-Allah projek ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan tumpuan kita adalah membina rumah yang mana pemohon mempunyai halangan dari sudut mendapatkan peruntukkan kerajaan yang menetapkan syarat-syarat tertentu.

“Mana-mana individu yang kita fikirkan layak untuk dibantu maka melalui peruntukkan yang ada melalui NGO dan badan-badan yang lain akan membantu mempermudahkan hasrat rakyat untuk memiliki rumah kediaman sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Iman Care Wan Ikhwan Wan Arif berkata rumah yang diterima oleh penarik beca itu merupakan rumah kelima yang berjaya dibina melalui program terbabit.

“Dibina selama 57 hari, Alhamdulillah dapat disiapkan lebih awal dari tarikh yang dijangka.

“Dengan bantuan ini diharapkan dapat membantu Pok Yah untuk membina kehidupan yang lebih baik pada usia sudah di penghujung jadi kita harap dapat memberikan sedikit kelegaan kepadanya,” katanya.

Mengulas mengenai program yang diadakan itu Ikhwan berkata pihaknya komited bagi memastikan setiap tahun 10 buah rumah dapat dibina bagi membantu rakyat.

“Program ini sebenarnya kita dah mulakan pada tahun 2018 dan apabila mendapat sumbangan korporat dan orang ramai kalangan rakyat di negara ini yang prihatin dan simpati dapat kita membina kediaman kepada mereka yang memerlukan.

“Sebelum ini menerusi program yang sama kita telah membina dua buah rumah di DUN Permaisuri, empah buah rumah di Hulu Terengganu pula kita perbaiki dan rumah keenam akan dibina  seumpama ini di Kampung Sekati DUN Manir, dan juga dalam perancangan akan turut dibina ialah di Seberang Takir dan juga Pengkalan Berangan,”ujarnya lagi.