Home Berita PAS Terengganu

Hasrat jurutera kimia untuk menemui bapa tidak kesampaian

158
SHARE

HULU TERENGGANU – “Arwah pernah menyuarakan hasrat untuk pulang menjaga ayah kami yang sakit,”luah kakak Jurutera Kimia yang ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan di rumah sewanya di Taman Scientex dekat sini, pagi Ahad lepas.

Siti Ayu Megawati Mohd Said, 33, berkata arwah Muhammad Sufian, 28, merupakan anak lelaki tunggal dari tiga beradik dan cukup rapat dengan ayah.

Katanya, arwah juga beberapa kali menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung untuk menjaga bapa mereka, Mohd Said Nang, 67, yang kini menghidapi penyakit lelah kronik.

“Kami semua cukup akrab walaupun berjauhan dengan keluarga dan menjadi kebiasaan selepas maghrib, akan berhubung dengan ayah di kampung dengan panggilan video sehingga azan Isyak.

“Agak berbeza sejak dua minggu lalu, setiap malam apabila arwah bercakap dan memberi tazkirah, ia lebih panjang daripada biasa namun, kami tidak menyangka itu adalah petanda dia akan meninggalkan kami,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Taman Seri Sentosa, hari ini.

Tambahnya, arwah adiknya juga bersikap pelik apabila mendesaknya pulang bersama-sama ke kampung sehari sebelum hari kejadian  menemui ayah mereka.

“Biasa arwah akan pulang setiap bulan menemui ayah tetapi sejak enam bulan kebelakangan ini gagal berbuat demikian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya bersetuju untuk pulang bersamanya pada hari Ahad(hari kejadian) selepas selesaikan urusan dokumen rentas negeri tetapi tidak kesampaian apabila arwah sudah tiada lagi,”jelasnya.

Tambah Siti Ayu Megawati, arwah juga sanggup berhenti kerja jika cutinya tidak diluluskan untuk pulang ke kampung semata-mata ingin menemui ayahnya yang uzur.

Dia berkata, walaupun terkilan dengan insiden yang berlaku, mereka sekeluarga pasrah dan reda dengan pemergian arwah.

Katanya, jenazah adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Kudat, di sini jam 9 malam pada Selasa.

Terdahulu, seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan serta kaki kanan, di rumah sewanya di Taman Scientex dekat sini awal pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, siasatan awal mendapati, pada malam sebelumnya lelaki berkenaan dikatakan bertindak menumbuk pintu kaca Masjid Taman Scientex yang berdekatan dengan rumahnya selepas mendapati pintu masjid itu ditutup selepas Isyak.