Home Berita PAS Terengganu

Hasrat bina rumah sendiri bersama isteri tercapai

190
SHARE

HULU TERENGGANU – Penantian lebih 170 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di daerah ini untuk mendapat geran hak milik tanah akhirnya hampir menjadi kenyataan.

Seramai 79 penerima Lot Rumah Generasi Kedua Felcra Bukit Kepah, Padang Ragut Kampung Kepah (79) dan RTB Pertanian Bukit Nyiur (32) di mukim Jenagor amat bersyukur apabila menerima Borang 5A kerana sudah terlalu lama menunggu.

Che Safarin Che Kamarudin, 32, berkata, dia amat berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri.

“Sebelum ini saya tinggal bersama keluarga, alhamdulillah dengan dapatnya Borang 5A ini impian saya untuk membina rumah sendiri bersama isteri mungkin tercapai,” ujarnya.

Che Safarin yang merupakan salah seorang penerima Lot Rumah Generasi Kedua Felcra Bukit Kepah ditemui wakil media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penyerahan Borang 5A membabitkan tiga kawasan tersebut yang disempurnakan oleh Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim serta Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu.

Bagi Mohd Zulkhari Ismail pula, penyerahan Borang 5A oleh kerajaan negeri itu disifatkan sebagai ‘hadiah’ yang begitu bermakna buat rakyat.

“RTB Pertanian Bukit Nyiur ini sudah lama kami terokai secara berkelompok, apabila kerajaan memutuskan untuk menyerahkan Borang 5A ini, kami semua amat bersyukur.

“Malah bayaran premium harga tanah yang perlu dijelaskan juga bagi saya tidak membebankan peserta kerana dikira berdasarkan keluasan tanah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Samsudin Mohd pula berkata, dia tidak dapat membendung perasaan gembira apabila penantiannya yang berpuluh tahun untuk memiliki tanah bakal menjadi kenyataan.

“Perasaan saya memang gembira sangatlah kerana tanah ini kita telah usahakan lebih 20 tahun lalu.

“Dulu kita dinafikan hak, jadi usaha kerajaan yang ada pada hari ini membuahkan hasil kepada peneroka seperti kami,” ujarnya yang mendapat Borang 5A bagi RTB Pertanian Bukit Nyiur.